Mahfuz cadangkan DAP keluar dari Pakatan.

Keputusan berhubung usul putus kerjasama dengan DAP yang diputuskan dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-61 Khamis lalu tidak akan berpatah balik. Demikian pandangan yang disuarakan oleh Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, ia boleh menyebabkan kredibiliti parti itu tercalar sekiranya berpatah balik daripada keputusan usul tanpa bahas pada muktamar lalu.

“Jika kita berpatah balik, pasti orang Islam di negara ini akan memandang negatif terhadap Pas yang memperjuangkan Islam.”

“Pasti mereka (orang Islam) akan kata Pas tidak konsisten. Jadi imej kami akan buruk,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Menurut Mahfuz, Pas akan dilihat lebih mementingkan jawatan berbanding prinsip parti oleh masyarakat sekiranya berpatah balik untuk bekerjasama semula dengan DAP.

Malah, beliau berkata, usul tersebut telah sebulat suara diluluskan dalam Muktamar Dewan Ulama Pas pusat yang di bawa oleh ahli jawatankuasanya sendiri.

“Sebenarnya sebahagian Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama adalah Ahli Majlis Syura Ulama. Jadi secara prinsipnya Majlis Syura telah memutuskannya.”

“Apa pun kita tunggu ia dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Syura nanti,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata cubaan PKR untuk menjadi orang tengah bagi mendamaikan DAP dan Pas dilihat sebagai usaha yang sia-sia.

“Itu satu usaha yang sangat sukar kerana usul yang dibawa Dewan Ulama Pas sudah menggariskan sembilan alasan tentang keperluan untuk putus kerjasama dengan DAP,” katanya.

Ketika ditanya adakah Pas akan mengarahkan ahli Pas yang memegang jawatan dalam kerajaan Selangor turut meletakkan jawatan seperti yang digesa oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Pulau Pinang, Mahfuz berkata, perkara itu terserah kepada PKR.

“Selangor dan Pulau Pinang adalah berbeza. Di Pulau Pinang DAP boleh memerintah tanpa Pas, begitu juga sekiranya tanpa PKR.”

“Namun begitu di Selangor ia terpulang kepada PKR. Jika mereka mahu bersama Pas, DAP perlu berundur. Kalau PKR mahu bersama DAP, Pas terpaksa berundur,” katanya.

Mahfuz ketika ditanya lagi, adakah Pas akan bekerjasama dengan BN di Selangor, beliau berkata perkara tersebut tidak akan berlaku.

“Moral politiknya, kita tidak akan bekerjasama dengan BN. Pas boleh jadi komponen besar bagi kerajaan pakatan,” katanya. – UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *