Mat Sabu akan buat Road Tour versi Anwar 2.0

Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu ketika ditemui berkata, beliau tidak menolak kemungkinan untuk membentuk sebuah parti baharu bagi meneruskan perjuangan politik bersama dengan beberapa bekas anggota jawatankuasa (AJK) Pas yang turut kecundang dalam pemilihan muktamar parti itu baru-baru ini selain beliau.

Katanya, mereka mempunyai beberapa pilihan untuk dipertimbangkan dan ketika ini dalam siri lawatan ke negeri-negeri di Semenanjung bagi melihat sokongan rakyat.

“(Buat masa ini) kami belum memikirkan. Sekarang kami bergerak untuk melihat sokongan rakyat dan mungkin kita akan ambil masa sebulan dua untuk melihat (dan mempertimbang) pelbagai pilihan.”

“Sama ada nak menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kekal pada parti politik sedia ada ataupun menubuhkan parti politik baharu. Itu semua pilihan yang belum kami putuskan,” katanya kepada pemberita selepas majlis ‘Jasamu Dikenang’ di Bakri semalam.

Yang turut hadir sama ketika sidang akhbar itu termasuklah bekas Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub serta bekas-bekas AJK Pas, Khalid Samad, Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Hatta Ramli, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Tidak ketinggalan, Bekas Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud serta bekas Pesurujaya Pas Johor, Aminolhuda Hassan turut hadir.

Mohamad menyuarakan demikian ketika ditanya sama ada tindakan DAP yang mengisytiharkan bahawa Pakatan Rakyat tidak wujud lagi semalam, seakan-akan memberi peluang kepada mereka untuk membentuk parti baharu sekali gus menjalin pakatan baru.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mereka akan bekerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk DAP kerana selari dengan aspirasi mereka untuk menukar tampuk pemerintahan negara pada masa depan.

“Atas (tiket) individu, kami boleh berjumpa sesiapa. Saya pun diundang berceramah sebagai ahli biasa Pas. Jadi tidak terikat dengan protokol parti sangatlah,” kata Mohamad.

Ditanya sama ada ‘kumpulan itu’ bergerak atas tiket Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) atau ada gelaran lain, Mohamad berkata: “Tiada nama pun lagi. Kami bergerak sekarang sebagai saya Mohamad Sabu, dia bergerak sebagai Aminolhuda, ni Dr Mariah sebagai ahli parlimen. Tiada gelaran lagi.”

Menyentuh tentang kemungkinan menghadapi situasi digantung keanggotaan ekoran sesi jelajah itu, jelasnya, ia terpulang kepada kepimpinan Pas sambil menambah beliau masih bekerja seperti biasa sebagai anggota biasa parti itu.

“Kami tidak berkerat rotan. Masih bekerja seperti biasa,” kata beliau. Selepas Johor, satu lagi majlis yang sama dijangka berlangsung di Pahang pada 26 Jun ini.

Muktamar Pas Tahunan Ke-61 lalu disifatkan sebagai kebangkitan semula golongan pro-ulama dalam kepimpinan parti itu apabila hampir kesemua calon golongan profesional gagal menguasai jawatan-jawatan pen­ting dalam parti itu. – UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *