PAS Kelantan berbaik dengan Kerajaan Pusat demi rakyat.

Jalinan kerjasama di antara Kelantan dan Persekutuan sejak bencana banjir luar biasa melanda di negeri tersebut pada Disember tahun lalu dilihat sebagai satu perubahan yang positif.

Malah, kejadian bah kuning luar biasa yang melanda di Kelantan bagai melenyapkan pergeseran politik yang mencecah 25 tahun itu sejak diambil alih Pas daripada Barisan Nasional (BN) pada 1990.

Demi kebajikan dan kepentingan rakyat, kerajaan negeri mengambil keputusan duduk semeja dengan kerajaan Persekutuan berbincang dan bertindak secara bersepadu bagi menyelamatkan mangsa ketika banjir serta menggembleng tenaga untuk kerja-kerja pemulihan pascabanjir.

Satu Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir Negeri Kelantan yang dipengerusikan bersama antara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ditubuhkan bagi memperkemas dan melancarkan setiap gerak kerja.

Kesannya, rakyat dapat melihat kerajaan negeri dan juga persekutuan seiring dalam usaha menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi mangsa banjir.

“Kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan membentuk era baharu untuk membela nasib rakyat Kelantan yang ditimpa musibah,” kata Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Dalam bencana banjir itu, jumlah anggaran penduduk di seluruh negeri yang terjejas ialah seramai 300,000 orang manakala jumlah rumah yang musnah dilaporkan sebanyak 1,827 buah rumah.

Justeru, kerajaan Persekutuan memutuskan akan membina sebanyak 1,255 Rumah Kekal Baharu (RKB) untuk mangsa banjir, dan kerajaan negeri pula akan membina sebanyak 572 RKB.

Merujuk rekod Unit Pemulihan Pasca Banjir Jabatan Perdana Menteri, kerajaan Persekutuan setakat ini telah menyiapkan 11 RKB manakala 434 RKB masih dalam proses pembinaan. Pada masa sama, kerajaan negeri turut menyiapkan 12 RKB dan 422 RKB masih dalam pembinaan. – UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *