Teressa Kok gagal rayuan lepas Akta Hasutan..

Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok Suh Sim yang didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung video klip yang disiarkannya sempena Tahun Baharu Cina, hari ini gagal dalam rayuan supaya kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Kamardin Hashim, yang menolak rayuannya berhubung isu undang-undang supaya kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Kamardin memutuskan Mahkamah Sesyen cukup kompeten untuk mendengar kes itu.

“Kalau perbicaraan dimulakan di Mahkamah Sesyen, keputusan masih boleh dirayu di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan kerana kedua-dua mahkamah ini kompeten untuk memutuskan isu undang-undang,” katanya.

Hakim itu berkata, pihak pendakwa raya mempunyai kuasa untuk memulakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen di bawah Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah.

Hakim itu juga memutuskan permohonan Kok itu tidak mempunyai merit.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Hakim Norsharidah Awang menetapkan 2 Oktober ini untuk sebutan semula kes Kok, selepas dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Peguam S.N.Nair, yang mewakili Kok, memberitahu mahkamah bahawa beliau mendapat arahan daripada anak guamnya untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu pada minggu depan.

Pada 6 Mei tahun lalu, Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerbitkan satu klip video menghasut bertajuk Teresa Kok ONEderful Malaysia CNY 2014 yang disiarkan sempena Tahun Baharu Cina pada Februari 2014.

Perbuatan itu didakwa dilakukan melalui laman web http://www.youtube.com/ di alamat 90-02-07 Apartmen Putra Ria, Jalan Bangsar di sini kira-kira jam 9 pagi, 1 Februari 2014.

Dakwaan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *