1MDB: “Pelik” Sungguh Reaksi Mohd Najib Razak…

Penulis agak tertarik dengan perkembangan siasatan pihak berkuasa berhubung isu 1MDB yang semakin hari makin mendebarkan dada. Bukan calang-calang yang dituduh, dakwaan Wall Street Journals (WSJ) melibatkan nama baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perkembangan terkini menyaksikan ibu pejabat 1MDB telah diserbu pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di mana sebelum ini GLC berkenaan telah disiasat secara terperinci oleh PAC, Ketua Audit Negara dan sebuah Pasukan Petugas Khas. Semuanya bebas politik!

Apa yang dilihat, dakwaan berkenaan bukan saja melibatkan nama baik Mohd Najib, malah ia lebih meluas dan mampu mencemarkan institusi tertinggi pentadbiran negara dan imej Malaysia di persada antarabangsa. Dakwaan yang sungguh besar bunyinya.

Sekiranya penulis melakukan kesalahan yang besar secara sembunyi-sembunyi, dan tiba-tiba pula ‘kantoi’ di khalayak umum, disiasat dan isu berkenaan mencetus kontroversi di seluruh negara, sudah tentulah penulis akan gelabah tidak tentu arah. Boleh sasau dibuatnya, kan?

Peliknya, Mohd Najib kelihatan begitu tenang menghadapi segala tuduhan tersebut dari awal. Malah ketika di awal pertuduhan, beliau dengan tegas mengarahkan dua badan bebas melibatkan Ketua Audit Negara dan PAC menyiasat mengenai isu 1MDB ini.

Apabila semakin banyak tuduhan yang dilontarkan pada beliau sehingga timbul dakwaan dari WSJ kononnya telah dimasukkan sebanyak USD700 juta ke dalam akaun peribadinya, lebih bersemangat lagi Mohd Najib menambah dua lagi badan penyiasat melibatkan Pasukan Petugas Khas dan PDRM.

Penulis tidak tahulah orang lain. Tapi jika penulis di tempat Perdana Menteri dan sedar bahawa penulis ada melakukan kesalahan, sudah tentulah penulis akan menutup semua “lubang” yang membuktikan penulis membuat kesalahan. Jangan haraplah boleh siasat. Pasukan siasatan? Jangan mimpi untuk ditubuhkan!

Tapi nampaknya reaksi Mohd Najib bertentangan dengan sifat orang bersalah. Beliau suruh empat pasukan penyiasat. Bukan satu, tapi empat badan bebas untuk menyiasat isu berkenaan secara terperinci! Lain macam benar tindakan itu, bukan? Berani betul…

Pepatah Melayu pernah berkata bahawa “berani kerana benar, takut kerana salah”. Dengan tindakan berani Mohd Najib itu, apakah kita nampak “kebaculan” pada tindakan beliau atau dengan jelas beliau begitu berani mencari menegakkan kebenaran?

Jika penulis di tempat Mohd Najib, berdepan dengan tohmahan sebegitu yang memang penulis yakin salah, bohong dan tidak benar sama sekali, sudah tentulah penulis akan lawan habis-habisan dengan berani.

Malah penulis akan gesa beberapa pasukan yang bebas pengaruh politik untuk menyiasat hingga ke lubang cacing mengenai dakwaan tersebut kerana penulis yakin bahawa kebenaran itu akan berpihak pada penulis dan fitnah itu akan merujuk pada pihak yang melontarkan tohmahan jahat pada penulis, kan?

Mohd Najib juga dilapor melalui firma guamannya telah menghantar surat kepada WSJ untuk meminta pihak media asing pro-Zionis Israel itu untuk mengesahkan pertuduhan mereka sebelum pihak beliau meneruskan proses perundangan sepenuhnya. Bagi pengamal undang-undang, mereka tentu faham dan bersetuju dengan maksud surat berkenaan, kan?

Pada pandangan penulis, reaksi Mohd Najib langsung tidak menunjukkan beliau bersalah sebagaimana yang didakwa akhbar asing yang dulu pernah bertubi-tubi menyerang Kerajaan Malaysia, termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penulis akui Mohd Najib mungkin tertekan dengan tohmahan tersebut. Maklumlah, siapa yang mampu tenangkan hati bila difitnah dan rakyat pula seolah termakan dengan tohmahan tersebut. Tentulah susah hati sedikit, bukan?

Justeru itu penulis menyarankan kepada Mohd Najib dan seluruh rakyat Malaysia supaya bermunajat di malam-malam terakhir Ramadhan ini, berbarakah malam Lailatul Qadar, memohon hajat supaya “tok dalang” di sebalik isu ini didedahkan dan semoga kebenaran tertegak di bumi merdeka ini. –Amir Hamzah/Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *