21 barangan kawalan akan dipantau KPDNKK.. – Hasan Malek

Mulai hari ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melaksanakan pemantauan harga bagi 21 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan.

Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hasan Malek berkata, para peniaga yang didapati masih berdegil menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya akan diambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Tiada alasan kepada para peniaga untuk menaikkan harga barangan kerana keputusan skim kawalan ditetapkan adalah hasil maklum balas perbincangan antara pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).”

“Malah bekalan kesemua barangan itu dijamin mencukupi sepanjang musim perayaan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan persatuan-persatuan perternak,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Expo Mega Raya Putrajaya 2015 di Putrajaya, semalam.

Yang turut hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Dr. Aseh Che Mat.

Merujuk laporan portal Jumaat lalu, KPDNKK menyenaraikan 21 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bersempena Aidilfitri tahun ini yang dikuatkuasakan selama 17 hari mulai hari ini.

Antara 21 jenis barangan itu termasuklah ayam, telur ayam, daging lembu, daging kerbau, ikan kembung, ikan selayang, cili merah, tomato dan bawang.

Dalam pada itu, Hasan turut meminta orang ramai untuk membuat aduan terus kepada Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK sekiranya mendapati para peniaga menjual 21 jenis barangan kawalan tersebut melebihi harga yang ditetapkan.

“Kita mahu rakyat memainkan hak mereka sebagai pengguna dengan menjadi mata dan telinga kerajaan untuk melaporkan kenaikan harga barang kepada KPDNKK dengan segera,” katanya. – UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *