6 Tan Sri terlibat dalam Gerakan jatuhkan Perdana Menteri??

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed antara yang dinamakan Raja Petra Kamaruddin dalam kumpulan 6 orang bergelar ‘Tan Sri’ mahu menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak.

Raja Petra Kamaruddin didalam blognya, Malaysia Today.net menyifatkan, pasukan petugas khas yang menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan sebahagian plot besar membabitkan 6 Tan Sri, antara pangkat tertinggi di peringkat persekutuan yang diberikan kepada pegawai kerajaan dan ahli perniagaan.

“Jika gerakan anti perdana menteri berjaya menumbangkan Najib, ini akan menjadi rampasan kuasa pertama dalam sejarah Malaysia, 50 tahun selepas apa yang berlaku di Indonesia.

“Sejarah mungkin akan mengingatinya sebagai hari enam Tan Sri – empat dalam kenyataan media di atas dan dua lagi saya pasti anda tahu siapa mereka,” katanya.

Kenyataan media yang dimaksudkan Raja Petra ialah yang dikeluarkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang mengumumkan pembekuan 6 akaun berkaitan siasatan 1MDB.

Tidak dapat dipastikan siapakah dua lagi Tan Sri yang dimaksudkan, namun berdasarkan gambar yang dilampirkan oleh Raja Petra, salah seorang lagi ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penulis blog berkenaan juga berkata, yang menarik dalam rampasan kuasa kali ini ialah ia tidak membabitkan ketenteraan seperti di Indonesia, sekadar menggunakan media untuk mencapai objektif.

Katanya, gerakan anti Najib tidak mahu menunggu hasil siasatan petugas khas atau Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selesai kerana dibimbangi perdana menteri akan didapati tidak bersalah.

“Jadi sebelum bukti kukuh dibongkarkan yang mungkin melepaskan atau tidak melepaskan Najib, mereka mahu mengambil ‘langkah selamat’ menyingkirkannya sekarang.

“Ya, persoalannya ialah wang RM2.6 bilion yang mereka tidak mahu rakyat Malaysia tahu. Jadi mereka perlu melakukan rampasan kuasa supaya Najib boleh disingkirkan dari pejabatnya.

“Namun, jika rampasan kuasa itu gagal, Najib masih di pejabatnya dan siasatan membuktikan Najib tidak mencuri RM2.6 bilion itu, maka siasatan tidak harus terhenti malah perlu dilakukan lebih mendalam lagi,” katanya.

Perdana Menteri kini sedang memulakan proses tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya dalam skandal melibatkan berbilion ringgit ekoran pendedahan akhbar The Wall Street Journal (WSJ) minggu lepas.

DS Najib Razak memberi jaminan bahawa beliau tidak terlibat didalam sebarang salah laku serta menganggap segala tuduhan yang dikemukakan adalah berniat jahat terhadap pemimpin Islam serta bertujuan menjatuhkan kerajaan. – Utaranews.com