Amanat Perdana Menteri kepada rakyat Malaysia di bulan Syawal.

Seluruh rakyat Malaysia digesa supaya mengeratkan semu­la hubungan yang telah layu dan pada masa sama memperkukuhkan jalinan persaudaraan yang dilihat hampir lesu di bulan Syawal ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, masyarakat hari ini perlu membuka seluas-luasnya pintu hati, pintu rumah dan pintu kebaikan serta jendela silaturahim 1Malaysia.

“Bulan Syawal yang mulia ini, marilah kita kembali kepada fitrah, jernihkan hubungan yang telah layu dan perkukuhkanlah persaudaraan yang hampir lesu,” katanya dalam catatan di laman Facebook miliknya, semalam.

Najib menerusi catatan yang berasingan menegaskan, tiada pihak mampu memecahbelahkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini yang telah lama terbina sejak merdeka.

Katanya, sejak mencapai kemerdekaan sehingga kini, rak­yat telah menempuh pelbagai dugaan dan cabaran bersama-sama.

“Tiada sesiapa boleh memecahbelahkan perpaduan antara kaum di Malaysia yang telah lama terjalin. Kita semua 1Malaysia,” katanya.

Selain itu, Najib melalui satu lagi catatan mendoakan agar segala program murni yang dijalankan oleh Persatuan Kebajikan Projek Iqra’ Semalaysia (Projek Iqra’) terus dirahmati Allah SWT.

Seterusnya, Perdana Menteri dalam pada itu merakamkan ucapan terima kasih di atas pemberian cenderamata daripada Projek Iqra’ kepadanya tempoh hari.

“Terima kasih, semoga usaha murni yang didokong oleh Projek Iqra’ melalui program-program yang dilakukan mendapat rahmat Allah SWT,” katanya.

Projek Iqra’ berkenaan ditubuhkan bagi membantu memantapkan, melancarkan tahap pendidikan dan kebajikan kanak-kanak dan remaja di rumah kebajikan (anak yatim, miskin dan asnaf) termasuk keluarga yang kurang berkemampuan. – UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *