Amaran dari Ketua Polis Negara tentang 1MDB

Semua pihak termasuk ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan terhadap isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi melakukan sesuatu yang boleh mencemar keharmonian dan keamanan negara ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Berikutan itu, Khalid berkata beliau telah mengarahkan siasatan dilakukan terhadap seorang ahli politik yang mengeluarkan kenyataan tentang adanya demonstrasi besar-besaran mengenai isu tersebut.

“Saya beri ingatan tegas di sini kepada sesiapa sahaja tidak kira ahli politik atau NGO, jangan ambil kesempatan terhadap isu (1MDB) sekarang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Rondaan Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merupakan sebahagian daripada Strategi Lautan Biru Kebangsaan di Bandar Hilir, di sini hari ini.

Baru-baru ini, seorang Ahli Parlimen menyatakan beliau tidak menolak berlaku demonstrasi besar-besaran membabitkan penyertaan individu, parti politik dan NGO.

Ahli Parlimen itu dilaporkan berkata jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih tidak meletakkan jawatan atau berehat sementara ketika siasatan ke atasnya sedang dijalankan, suara menuntut demonstrasi itu akan lebih kuat.

Mengulas laporan terbaru Sarawak Report yang mendakwa RM2 juta telah didepositkan ke dalam akaun isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Khalid berkata akaun itu akan disiasat jika ada kena mengena dengan kes 1MDB tersebut.

Sementara itu, beliau berkata indeks jenayah di negara ini menurun kira-kira 14 peratus untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya sebanyak 56,175 kes jenayah dicatat dalam tempoh itu tahun ini berbanding 65,336 kes pada tahun lepas.

“Jenayah jalanan juga menuruh sebanyak 27 peratus, manakala jenayah ragut dan pecah rumah masing-masing turun sebanyak 19.1 peratus dan 10.4 peratus tahun ini,” katanya.

Ditanya mengenai tangkapan dua lelaki tempatan yang disyaki mempunyai kaitan dengan militan IS di Syria, Khalid berkata polis akan terus memantau perkara itu dan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

“Mereka ini sebenarnya telah jauh terpengaruh dengan militan tersebut dan kita tidak akan membiarkan mereka ini mengancam keselamatan negara.

“Ada beberapa lagi yang sudah kita kenal pasti. Kita akan tahan mereka apabila pulang ke negara ini,” katanya.

Pada 2 dan 7 Julai lepas, polis menahan dua lelaki tempatan di sekitar Kuala Lumpur, yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan militan IS di Syria dan merancang melancarkan serangan di beberapa sasaran penting di Lembah Klang. – RP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *