Barisan Kabinet baru diharap kembalikan semula keyakinan rakyat..

Pelantikan barisan Kabinet baharu yang dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin diharapkan dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat dengan membuktikan bahawa amanah yang dipikul tidak sesekali diabaikan dan kepentingan rakyat didahulukan.

Pergerakan Pemuda UMNO berkata, mana-mana pihak tidak sepatutnya menjadikan alasan untuk mencetuskan perpecahan di dalam parti kerana keputusan yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak perlu dihormati.

Menurutnya, demi memastikan setiap cabaran menjelang pilihan raya umum kelak dapat dihadapi dengan baik, kekuatan seluruh pemimpin dan ahli UMNO perlu dipertingkatkan dan diperkukuh.

“Pemuda UMNO Malaysia menghormati kuasa prerogatif Perdana Menteri untuk menentukan anggota pentadbiran kerajaan, justeru kami akur dengan keputusan tersebut,” katanya.

Pada masa sama, Pemuda UMNO berikrar tetap menghormati Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal biarpun kedua-duanya sudah tidak menganggotai Kabinet.

Menyentuh tentang isu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Pemuda UMNO meminta agar siasatan terhadap syarikat itu diteruskan untuk dilihat kebenaran kerana ia telah menghakis keyakinan rakyat.

“Rakyat perlu kebenaran dalam isu ini melalui proses siasatan yang sedang berlangsung oleh pasukan siasatan khas, Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), institusi-institusi ini perlu diberikan masa dan kebebasan menjalankan tugas tanpa sekatan mahupun provokasi.”

“Sekarang hanya tinggal kurang tiga tahun sebelum pilihan raya umum akan datang. Inilah masa untuk kita bersatu, menggembleng tenaga dan menyatukan hati untuk membuktikan bahawa tradisi parti yang membela rakyat masih subur dalam kalangan ahli,” tambahnya. – UtaraNews.com

One thought on “Barisan Kabinet baru diharap kembalikan semula keyakinan rakyat..

  • 30/07/2015 at 10:50 am
    Permalink

    Tu diaaaa. Ada lagi yang berani? Lebih baik bertindak sekarang sebelum terlambat.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *