Pemimpin PAS percaya “parti Mat Sabu” tidak dapat sambutan.

Andy agak tertarik dengan kemelut yang melanda pemimpin Pas serta pemimpin Gerakan Harapan Baharu (GHB) yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin Pas yang tewas dalam pemilihan awal bulan Jun lalu.

Bagi pemimpin GHB, mereka menubuhkan parti tersebut bagi menggantikan Pas yang secara rasminya telah memutuskan hubungan dengan DAP susulan membawa usul memutuskan tahaluf siyasi dengan parti itu.

Manakala, bagi pemimpin Pas, dengan penubuhan GHB itu tidak akan berkekalan lama kerana perkara seperti ini pernah berlaku selepas pemilihan Pas pada tahun-tahun yang lalu, dimana bekas pemimpin yang tewas telah menubuhkan sebuah parti yang baru dan akhirnya berkubur begitu saja kerana tidak mendapat sokongan.

Menurut bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Abdul Samad yang juga merupakan salah seorang pemimpin Pas yang menyertai GHB berkata, pemimpin Pas menjadi punca mengapa Pakatan Rakyat (PR) dibubarkan.

Tambahnya, Pas sering melemparkan kesalahan yang sering dilakukan kepada DAP tanpa menyedari hakikatnya kesalahan itu berpunca dari parti Islam itu sendiri.

Oleh itu, beliau menggesa ahli Pas agar mengkaji semula punca perpecahan yang berlaku sebelum ini.

“Ahli Pas perlu kaji semula, mungkin bukan satu sahaja yang menjadi punca, mungkin DAP ada seikit sebanyak menyubang kepada perpecahan itu tetapi pada hakikatnya Pas sendiri ada banyak kesilapan.

“Pas sendiri ada banyak kesilapan dan kita telah tegur dalam mesyuarat Pas Pusat. Pelbagai kes kita tegur, tetapi sejak tahun 2013 dapat dilihat wujud satu usaha yang tidak begitu jujur dengan pakatan bersama ini,” kata Khalid.

Menurut Khalid lagi, Pas bersama PR bukanlah atas dasar mahu bersama-sama PKR dan DAP, sebaliknya cuma mahu menumpang perjuangan untuk merealisasikan dasar perjuangan parti Islam itu.

“Pas pernah adakan Multaqa Ulama pada 2013 selepas pilihan raya umum lalu dimana resolusinya untuk mengkaji tahaluf siyasi dengan PKR, manakala untuk tahun 2015 pula tahaluf siyasi dengan DAP. Dari sini kita nampak seolah-olah pelbagai punca dicari oleh Pas untuk dijadikan maslah dan perbalahan bersama,” katanya.

Selain itu, Khalid turut mengugut pemimpin Pas agar menarik balik keputusan memutuskan hubungan dengan DAP jika tidak mahu GHB ditubuhkan bagi menggantikan Pas.

Khalid berkata, beliau memberi masa sehingga 14 September depan untuk Pas membetulkan semula kesilapan yang dilakukan sebelum GHB secara rasminya ditubuhkan.

“Itu adalah hari terakhir 100 hari iaitu 14 September;” ujarnya.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad hari ini tampil membidas Khalid dengan mengatakan penubuhan GHB tidak mendapat sokongan rakyat dan terpaksa ditangguhkan berulang kali.

Iskandar berkata, jika benar parti tersebut mendapat sokongan rakyat, sudah pasti penubuhan parti itu telah dirasmikan tanpa perlu ditangguh-tangguhkan dengan memberi alasan dan menuding jari kepada Pas.

Tambah Iskandar, parti tersebut hanya layak bergerak sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukan sebuah parti seperti diarahkan DAP.

“Penangguhan penubuhan parti baharu oleh kumpulan pemimpin Pas yang kalah dalam muktamar lepas dipercayai kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat kepada mereka.

“Malah, saya juga tidak terkejut jika penubuhan parti tersebut dibatalkan dan kumpulan itu hanya bergerak sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” jelasnya.-Utaranews.com-

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *