Mahathir mudah lupa kerana dikelilingi kaki bodek kurang cerdik..

Dalam satu kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam nada sindiran mengatakan kononnya beliau tidak memerlukan orang bijak pandai untuk bersamanya dalam barisan kabinet bagi mentadbir negara.

Sindir Tun M lagi, apa yang beliau perlukan sebagai Perdana Menteri ketika itu ialah golongan “kaki kipas” yang suka membodeknya sahaja selain patuh pada setiap arahannya tanpa berfikir.

Sekali lagi, penulis bersetuju dengan sindiran Tun M itu. Memang benar katanya. Namun jika kita imbas kembali corak pentadbiran beliau ketika memegang kuasa sebagai Perdana Menteri, itulah yang beliau buat pada barisan kabinetnya dahulu.

“Mengata dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih”, mungkin Tun M lupa pada peribahasa Melayu itu. Namun maafkanlah beliau. Bukankah beliau sendiri mengaku Melayu itu sememangnya mudah lupa sebelum ini, bukan?

Penulis yakin bahawa kenyataan berbaur sindiran itu beliau tujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Namun secara tidak langsung tanpa beliau sedari, sebenarnya apa yang disindirnya itu merujuk kembali padanya. Menuding jari telunjuk pada orang, empat jari lagi menunjuk pada diri sendiri?

Masih ingat dengan nama Tengku Razaliegh Hamzah? Seorang bekas menteri kewangan di zaman beliau dahulu? Masih ingat lagi dengan nama Tun Ghafar Baba yang pernah menjadi Timbalan beliau dahulu?

Tahukah kita bahawa Tengku Razaliegh atau Ku Li merupakan pencetus idea kepada banyak perkara yang sangat strategik dan memberikan keuntungan kepada negara? Salah satu idea beliau adalah penubuhan Petronas pada 1 Ogos 1974 di bawah pentadbiran Tun Abdul Razak, bapa Najib.

Namun setelah Petronas melonjak nama, berjaya dan memulangkan hasil lumayan kepada negara, maka jadilah ia seperti “lembu punya susu, tapi sapi yang dapat nama”. Kenapa? Kerana Ku Li mencabar kedudukan Mahathir untuk kerusi Presiden UMNO? Generasi muda tahu sejarah ini? Atau sekadar menjadi ‘pak turut’ yang taksub saja?

Soalnya, boleh dikatakan hampir setiap menteri kabinet dan pemimpin UMNO di zaman itu tahu bahawa Ku Li adalah merupakan antara “genius” di dalam barisan kabinet dan pimpinan parti ketika itu. Mengapa beliau ‘tersingkir’ agaknya?

Mudah sangat jawapannya, bukan? Memang lumrah politik Tun M, siapa yang melawan boss, maka sudah tentulah ‘jangka hayat’nya tidak lama. Beliau sendiri mengaku perkara itu baru-baru ini, bukan?

Tun M dalam kenyataannya sebelum ini menegaskan beliau akan gugurkan mana-mana Menteri dari barisan kabinet yang tidak menyokongnya jika mereka tidak meletak jawatan. Sila semak kenyataan beliau baru-baru ini.

Jadi, disebabkan prinsip berkenaan, Tun M telah gugurkan ramai pemimpin UMNO, ada yang meletak jawatan secara bermaruah dan ada pula yang mengundurkan diri. Kemuncaknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dipecat gara-gara cuba mencabar keputusannya dulu, bukan?

Jangan salahka Tun M. Memang itu standard tindakan bagi seorang Perdana Menteri atau ketua kerajaan untuk bertindak. Pergilah ke negara mana sekalipun, memang itu tindakan yang wajar bagi memastikan kelancaran pentadbiran negara.

Itulah nasib menteri kabinet di zaman Tun M. Namun memandangkan ramai menteri di zamannya itu bermaruah, maka ada yang meletak jawatan. Namun di zaman Najib ini, mungkin ada yang kurang sikit maruahnya hingga memaksa Najib menggugurkan mereka.

Jangan salahkan Najib kerana beliau telah mengingatkan mereka untuk meletak jawatan sekiranya tidak yakin dan tidak sealiran dengan kepimpinannnya sebelum bertindak merombak kabinet, bukan? Sudah diingatkan secara terhormat, tapi bila enggan meletak jawatan, maka terimalah akibatnya…

Jadi, jika di zaman Tun M sendiri pun mengamalkan kaedah gugurkan mereka yang bijak pandai dan mengekalkan “yes man”, mengapa perlu sindir Najib? Sindir diri sendiri dahulu.

Dan jika ego sangat untuk menyindir diri sendiri, sila sindiri dulu anak sendiri di Kedah. Tun M boleh soal Dato’ Seri Mukhriz tentang pilihan barisan Exconya yang menjadi bahan gelak ketawa Kedah Civil Servant (KCS) dan rakyat jelata.

Penulis dikhabarkan bahawa ramai KCS yang ketawa bila ada di kalangan Exco pilihan Mukhriz yang ‘terlopong’ diberi taklimat dalam bahasa Inggeris. Mereka sendiri tidak yakin barisan Exco pilihan anak Tun M itu faham atau tidak apa yang diperkatakan di dalam taklimat yang diberi.

Tun M boleh soal Mukhriz mengapa beliau memilih mereka yang tidak mahir berbahasa Inggeris sebagai barisan Exconya berbanding melantik beberapa Adun BN yang berkebolehan, berpengalaman dan mampu membantu. Bukan hanya dengan melantik ‘penyokong tegar’ dan ‘tukang kipas’nya sahaja di dalam barisan kepimpinan kerajaan BN di Kedah, bukan?

Itulah tindakan normal yang Tun M ajar dan menjadi budaya di Malaysia. Itu “Standard of Procedure” yang beliau ajar. Penulis yakin Tun M tidak akan melantik mereka yang tidak menyokong, tidak setia dan cuba menggulingkan kedudukannya sebagai Presiden UMNO atau Perdana Menteri ketika beliau berkuasa, bukan?

Justeru itu, penulis berpandangan bahawa tiada apa yang pelik dalam rombakan kabinet yang Najib lakukan baru-baru ini.

Cuma yang peliknya ialah mereka yang mendakwa mereka menyokong kepimpinan Perdana Menteri, tapi tergamak mempersoalkan dan tidak yakin pada keputusan beliau sahaja. Sikap seperti itu benar-benar bagaikan ‘sesumpah’, bukan?

‘Seekor sesumpah’ sudah masuk ke penjara atas jenayahnya, masih ada lagi legasi ‘sesumpah’ itu di dalam UMNO? –Amir Hamzah/Utaranews.com

One thought on “Mahathir mudah lupa kerana dikelilingi kaki bodek kurang cerdik..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *