Mampukah ahli Umno jadi Keyboard Warrior di alam siber??

UMNO hari ini mahu lebih ramai ahli berperanan sebagai ‘keyboard warrior’ bagi melahirkan sokongan terhadap barisan kepimpinan parti dan kerajaan di media sosial memandangkan jumlah keahliannya kini mencecah tiga juta orang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika ditemui berkata, langkah progresif itu sememangnya diperlukan kerana masyarakat kini yang dilihat bergantung sepenuhnya kepada media sosial sehingga menjurus berlakunya perang siber di alam maya itu.

Menurutnya, amat jelas sekali bahawa situasi itu menuntut UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kumpulan yang hebat dalam kalangan ahli parti bagi menangkis atau menyerang semula persepsi negatif tersebut.

“Perkara ini bukan sesuatu yang pelik kerana ia turut dilakukan di seluruh dunia, iaitu ahli-ahli parti politik menyatakan sokongan terhadap pemimpin masing-masing di media sosial.”

“Justeru, ahli-ahli UMNO juga wajar bertindak sebagai keyboard warrior, kalau tidak mampu untuk membuat blog atau portal sekurang-kurangnya boleh menjawab di akaun laman sosial masing-masing,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Langat di Beranang dekat Hulu Langat, semalam.

Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan mengulas berhubung kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin yang mahu UMNO mewujudkan lebih ramai keyboard warrior bagi menangkis persepsi negatif terhadap parti di media sosial.

Sebelum itu, beliau menerusi ucapan penutup menggesa semua ahli UMNO supaya terus muhasabah diri dalam usaha mempertahankan dan memperkukuh kedudukan parti selain terus setia dengan kepimpinan Presiden.

Dalam pada itu, beliau berkata, setiap ahli UMNO perlu kekal setia dengan parti selain memberi peluang dan ruang kepada Najib untuk menyelesaikan isu-isu yang berbangkit, sambil menyifatkan situasi politik negara hari ini sebagai zon kuning.

Seterusnya, beliau memberitahu, UMNO Bahagian Padang Terap telah menerima peruntukan RM11,000 bagi melakukan kerja-kerja pentadbiran dan aktiviti setiap bulan.

Dalam perkembangan yang lain, Mahdzir memuji langkah Najib baru-baru ini yang bersetuju mengadakan sidang khas Parlimen bagi pelantikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baharu.

Jelasnya, keputusan Perdana Menteri itu membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sememangnya bersedia menyelesaikan isu-isu yang berbangkit khususnya dalam kalangan masyarakat dengan segera tanpa menunggu sidang Parlimen yang dijadualkan Oktober depan. – UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *