PKR cabar Khairy Jamaluddin letak jawatan.

KENYATAAN MEDIA

KHAIRY DAN PAUL LOW BERANI LETAK JAWATAN SEBAGAI TANDA PROTES?

Tindakan terhadap beberapa agensi kerajaan baru-baru ini termasuk SPRM menimbulkan persepsi tidak baik bahawa ada pihak yang sedang cuba mengganggu perjalanan proses penyiasatan berkaitan skandal kewangan 1MDB dan isu “derma” politik RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadi Dato’ Sri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Beberapa orang menteri termasuk Datuk Paul Low, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan telah jelas menyatakan pendirian tidak setuju mereka terhadap tindakan-tindakan mutakhir ini termasuk pemindahan serta-merta dua pegawai kanan SPRM pada Jumaat lalu.

Namun untuk hanya menyatakan pendirian – walhal mereka menteri – adalah tidak mencukupi.

Berasaskan konsep “kebertanggungjawaban bersama” (“collective responsibility”), selagi mereka masih berada di dalam kabinet Dato’ Sri Najib selagi itu mereka tetap bersetuju dengan dasar dan tindakan-tindakan yang menghakis integriti dan kebebasan institusi-institusi kawal selia yang teramat penting ini.

Oleh itu, kedua-dua mereka sebenarnya patut mengambil tindakan yang lebih tegas sebagai tanda bantahan.

Jika mereka tidak mampu mengubah dasar pentadbiran Dato’ Sri Najib, saya mencabar kedua-dua menteri ini untuk meletakkan jawatan mereka sebelum mesyuarat Jemaah Menteri hari Rabu ini, agar Dato’ Sri Najib mendapat isyarat paling jelas bahawa anggota kabinet beliau sendiri tidak bersetuju dengan dasar serta tindakan-tindakan yang telah berlaku ini.

Rakyat sedang melihat adakah Khairy dan Paul Low orang yang cakap serupa bikin, atau adakah mereka berani untuk hanya mengeluarkan kenyataan?

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN

9 Ogos 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *