Mahathir patut dipecat dari UMNO kerana memfitnah!

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tuduhan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan Datuk Seri Najib Razak memberi rasuah kepada Ahli Parlimen dan Ketua Bahagian Umno sebagai tidak berasas dan melampaui batas.

Ismail berkata, tuduhan liar Mahathir itu sama sekali tidak bertanggungjawab dan perlu dipandang serius kerana boleh menjejaskan reputasi parti dan perdana menteri selaku presiden parti.

Jelas Sabri, tuduhan Mahathir yang mempunyai agenda politik peribadi itu akan membuatkan masyarakat hilang kepercayaan terhadap pemimpin-pemimpin Umno sekaligus kurang sokongan rakyat terhadap parti Melayu itu.

“Saya cukup kesal dengan kenyataan Tun Dr Mahathir yang sebelum ini menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberi rasuah kepada Ahli Parlimen dan Ketua Bahagian Umno untuk mendapat sokongan.

“Tuduhan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Ahli Parlimen dan Ketua Bahagian Umno amat serius dan tidak bertanggungjawab.

“Ia bukan sahaja tidak benar malah boleh menjejaskan persepsi masyarakat terhadap kredibiliti pemimpin-pemimpin Umno dan disifatkan sebagai penghinaan kepada ahli parti Umno yang lain,” kata Ismail Sabri menerusi laman Facebook miliknya.

Dalam masa sama, Ismail turut menasihati bekas perdana menteri itu agar menunjukkan keperibadian beliau sebagai seorang yang pernah menjadi pemimpin nombor satu di negara dengan tidak mengeluarkan tuduhan yang tidak berasas terhadap Perdana Menteri dan juga ahli parti.

Ismail berkata, walaupun Mahathir mempunyai agenda mendesak Najib untuk berundur, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang bakal menghancurkan parti Melayu sendiri.

“Sebagai bekas pemimpin parti tunjang negara Tun Dr Mahathir seharusnya menunjukkan sifat yakin terhadap parti dan bukannya memberi komen yang tidak berasas,” katanya.

Mahathir sebelum ini menuduh Najib memberi rasuah kepada Ahli Parlimen dan Ketua Umno Bahagian untuk menyatakan sokongan terhadap perdana menteri itu.

Walhal, seperti yang umum tahu setiap kali pilihan raya umum diadakan, seorang ketua parti akan memberi dana kepada mereka ini untuk melakukan kempen bagi memenangi calon masing-masing.

Tetapi, demi kepentingan peribadi legasi Mahathir, Mahathir telah memfitnah perdana menteri dengan mengatakan ia sebagai rasuah untuk menyatakan sokongan. Perkara ini amat mengecewakan.-Utaranews.com-

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *