PAS sahkan Parti Mat Sabu gagal tarik penyokong melayu

Kegagalan Gerakan Harapan Baru (GHB) untuk mengerahkan orang Melayu turun ke perhimpunan Bersih 4.0 membuktikan NGO itu tidak mampu menggantikan Pas jika Pakatan Rakyat 2.0 ditubuhkan.

Demikian kata Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad sambil menegaskan, ketidakupayaan Harapan Baharu membuktikan PR 2.0 tidak dapat berperanan dengan berkesan tanpa kekuatan Pas.

“Kita lihat pada Bersih 4.0, bahawa tanpa Pas, PR tidak dapat bertindak dengan berkesan.

“Kalau kita lihat Bersih 4.0 itu hanya kurang lima hingga 10 peratus saja orang Melayu, walaupun Harapan Baharu telah digunakan untuk menggerakkan orang Melayu,” katanya kepada pemberita pada Kongres Rakyat.

Dalam pada itu, Iskandar juga berkata, pakatan pembangkang hanya akan menjadi kuat dan efektif jika Pas terlibat sama dalam gabungan tersebut khususnya di Selangor, Terengganu dan Kelantan.

“Ia memberi satu petunjuk kepada parti-parti yang menentang BN, kalau nak bergabung, nak satu pembangkang yang efektif, kena ada Pas,” ujarnya.

Sementara itu, Iskandar turut menegaskan kemenangan Pas pada PRU12 dan PRU13 bukan kerana semangat PR semata-mata.

“Saya rasa semangat PR itu bukan semangat DAP atau PKR, ia semangat bersama, kalau kita lihat gelombang pada 2008 dan 2013 adalah gelombang bersama.

“Saya berpendirian bahawa parti-parti PR perlu bersama jika nak pertahankan kerajaan, ataupun nak memberi sesuatu tekanan kepada BN,” dakwanya.

Pesuruhjaya Pas Selangor itu berkata lagi, kekuatan Pas di Selangor jauh lebih hebat dari Harapan Baharu berdasarkan jumlah ahli parti masing-masing.

“Sebelum ini, Harapan Baharu mensasarkan boleh menarik 3,000 ahli, tapi kita mempunyai 90,000 ahli Pas di Selangor, kalau boleh capai sasaran mereka, namun ia hanya beberapa peratus dan jauh dari jumlah ahli Pas,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *