Dewan Ulama PAS dakwa Chegu Bard menipu

Pas hari ini menafikan terlibat atau campur tangan dengan pergolakan yang berlaku dalam PKR susulan penubuhan Pakatan Harapan (PH) tanpa penglibatan parti Islam itu seperti yang didakwa ahli PKR seumur hidup, Badrul Hisham Shaharin.

Menurut Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamad, partinya tidak pernah sesekali untuk mencampuri pergolakan yang berlaku PKR memandangkan parti Islam itu sendiri juga mempunyai pergolakan yang telah menyebabkan perpecahan dalam parti.

Mahfodz berkata, partinya kini lebih memfokuskan untuk mengukuhkan dasar parti apabila parti Islam itu telah mengalami berpecahan ekoran ahlinya menubuhkan sebuah parti baharu ekoran kekalahan dalam pemilihan parti yang lalu.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Chegubard. Pas memang tidak pernah terfikir nak kacau daun parti lain.

“Pas sendiri pun dah berpecah. Pas ini parti Islam dam jika dilihat Amanah pun hasil dari serpihan Pas,” kata Mahfodz.

Selain itu, Naib Presiden Pas Idris Ahmad juga turut tampil menafikan dakwaan Badrul Hisham yang lebih dikenali Chegubard dengan mengatakan ianya mengarut dan tidak boleh dipercayai.

“Maaf saya tidak percaya,” kata Idris.

Chegubard sebelum ini menyatakan terdapat gerakan dalam kalangan pemimpin dan aktivis PKR untuk menubuhkan parti baharu yang telah dibantu oleh pemimpin Pas dan telah hadir ke Pejabat Pendaftar Pertubuhan di Putrajaya untuk mendaftarkan parti baru itu.

Dalam masa sama, Chegubard juga memaklumkan beliau memperolehi maklumat tersebut daripada seorang kenalan dari Pejabat Pendaftar Pertubuhan tersebut. –Utaranews.com-

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *