Kini Mahathir akui Akta SOSMA lebih tegas dan berkesan dari Akta ISA

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, atau Sosma, lebih buruk daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang digantikannya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, susulan penahanan pengkritik 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Bekas perdana menteri itu, penyokong kuat ISA yang kini dimansuhkan berkata, Khairuddin boleh ditahan sepanjang hayatnya di bawah Sosma kerana akta itu tidak menjelaskan definisi perkataan “sabotaj”.

“Disebabkan penahanan Khairuddin, saya mengkaji hal ini dan mendapati ia lebih teruk daripada ISA. Kerana, jika anda dituduh mensabotaj – dan sabotaj tidak ditakrifkan – anda boleh dipenjarakan seumur hidup,” kata Dr Mahathir pada satu sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.

“Jadi, Khairuddin sedang menghadapi masalah ini. Apa yang beliau lakukan sudah tentu boleh dipanggil sabotaj kerana definisi yang tidak diberikan.

“Kerajaan boleh membuat definisi mengatakan, jika anda melakukan sesuatu seperti ini, ia adalah sabotaj, dan oleh itu anda harus dipenjarakan seumur hidup.”

Dr Mahathir berkata, pengkritik ISA berjaya mendesak supaya akta itu, yang membenarkan penahanan tanpa bicara, dimansuhkan pada 2011, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tetapi, kata perdana menteri paling lama berkhidmat itu, pemansuhan ISA hanya menyebabkan ia digantikan dengan undang-undang yang lebih teruk lagi.

“Jadi, rakyat sebelum ini tidak suka ISA, di mana anda dapat 2 tahun (penjara) dan kajian semula (kes) dan semua itu. Malah, anda mungkin juga boleh dibebaskan sebelum 2 tahun. (Tetapi) Sekarang, anda berdepan kemungkinan dipenjara sepanjang hayat.”

Dr Mahathir berkata, beliau sendiri berkemungkinan besar akan ditahan mengikut Sosma, susulan kenyataan yang dibuatnya kepada media akhir-akhir ini mengenai Najib dan kerajaan.

Beliau mengakui tidak bersedia untuk sebarang kemungkinan seperti itu berdasarkan faktor umur dan kesihatan, tetapi menambah, “orang nyanyok” pun, atau mereka yang mengalami penyakit demensia, tidak dapat melarikan diri daripada dikenakan undang-undang itu.

“Kalau saya salah, saya terpaksa kena penjara seumur hidup… saya tidak bersedia, saya sudah tua, tidak begitu sihat, tidak dapat berfikir, nyanyok.

“Tetapi, orang nyanyok pun tidak ada alasan untuk mengatakan perkara yang salah,” kata Dr Mahathir.

Khairuddin ditahan semula pada Rabu lepas di bawah Sosma bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beliau cuba mensabotaj kerajaan dengan membuat laporan kepada penyiasat asing berhubung syarikat sarat hutang 1MDB.

Bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan itu pertama kali ditangkap pada 18 September, dan ditahan semula pada Rabu ketika dibebaskan selepas 6 hari direman.

Sosma ialah undang-undang pencegahan penahanan yang membenarkan tahanan tanpa bicara sehingga 29 hari.

Khairuddin pertama kali membuat laporan polis terhadap syarikat milik Kementerian Kewangan itu pada Disember tahun lepas, dan kemudiannya dipecat daripada Umno kerana diisytiharkan muflis.

Beliau baru-baru ini membuat laporan kepada pihak berkuasa di Hong Kong, Switzerland, Perancis dan United Kingdom mengenai 1MDB.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *