Pemimpin pembangkang semuanya Bodoh!! – Nazri Aziz

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyifatkan tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang mahu membuat undi tidak percaya di Parlimen terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai bodoh.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu menjelaskan, usul undi tidak percaya tidak wujud dalam sistem Parlimen di negara ini.

Justeru itu, tindakan pemimpin pembangkang yang menggesa undi tidak percaya dibuat terhadap perdana menteri merupakan tindakan bodoh kerana mereka tidak faham mengenai urusan aturan mesyuarat di Parlimen walaupun telah lama menjadi Ahli Parlimen.

Nazri berkata, pemimpin pembangkang sering kali lagak mahu menjadi seorang hero, hakikatnya mereka ini  bodoh apabila tidak mengetahui peraturan yang telah ditetapkan tetapi cuba menjadi hero.

“Banyak kali saya sebut, lebih 14 tahun saya jadi menteri dan lima tahun sebagai menteri yang menguruskan tatacara di Parlimen, tidak wujud mengenai usul undi tidak percaya.

“Malah, tidak ada satu peruntukan khusus untuk sebarang undi tidak percaya kepada Perdana Menteri atau mana-mana Ahli Parlimen.

“Banyak ahli Politik bodoh, nak berpolitik tapi urusan Parlimen tidak faham. Saya sebut ya, bodoh. Kalau tidak reti eja b.o.d.o.h. Ia termasuk sesetengah veteran yang sudah lama jadi Ahli Parlimen tetapi masih tidak faham lagi,” kata Nazri.

Nazri yang menjelaskan lebih lanjut mengenai usul undi tidak percaya berkata, usul undi tidak percaya memang tidak wujud dalam Parlimen di negara ini, tetapi boleh dilakukan dengan cara tidak langsung.

“Sebagai contoh, di dalam Pembentangan Bajet 2016 atau mana-mana Rang Undang-Undang (RUU) kerajaan telah ditolak dan itu secara tidak langsung boleh dibaca sebagai undi tak percaya,” katanya.- Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *