Ketahui Fadhilat dan hukum selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.



Pengertian Selawat

Selawat adalah jamak dari kalimat solat . Selawat menurut bahasa ertinya ialah doa , rahmat dari Allah s.w.t , memberi berkah dan ibadat.

Dalam kitab suci Al-Quran Allah s.w.t berfirman yang bermaksud “ Sesungguhnya Allah dan para malaikat-nya selawat kepada Nabi . Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya .” – ( Surah Al-Ahzab:ayat 56 )

Selawat kepada Nabi terdiri dari tiga peringkat :

1. Selawat Allah s.w.t kepada Nabi dan Rasulnya , istimewa kepada Nabi Muhammad S.A.W. bererti Allah memberi rahmat , memuji dan melahirkan keutamaan serta mendekatkan Nabi Muhammad S.A.W kepadanya .

2. Selawat para Malaikat kepada para Nabi dan Rasul dan Nabi Muhammad S.A.W , bererti para malaikat mendoakan atau memohon rahmat kemuliaan serta keampunan .

3. Selawat manusia kepada Nabi Muhammad S.A.W , bererti mengakui kerasulannya , memohon kepada Allah s.w.t melahirkan keutamaan , kemuliaan dan mengakui serta mengikuti kebenaran ajaran yang dibawanya .

Hukum Membaca Selawat

Para ulamak telah memberi berbagai pendapat tentang hukum membaca selawat ke atas Nabi S.A.W diantaranya :

1. Imam Syafie mengatakan , selawat itu wajib dibacakan dlm tasyahud akhir, iaitu di antara tasyahud (tahiyyat) dan salam .

2. Imam Asy-Sya’bi berpendapat, selawat wajib dibaca dalam solat dalam kedu-dua tasyhud awal dan akhir .

3. Abu Jaafar Al-Baqir mengatakan , selawat wajib dibaca di dalam solat sama ada dlm tasyahud awal atau akhir .

4. Abu Bakar ibnu Al-Baqir berpendapat , selawat wajib dibaca tanpa mengira bilangannya .

5. Abu Bakar Ar-Razi & Ibnu Hazmin berpendapat , berselawat wajib dalam seumur hidup walaupun hanya sekali .

6. At-Thahawi berpendapat , selawat wajib apabila seseorang mendengar orang menyebut nama Nabi Muhammad S.A.W

7. Az-Zamakhsyari berpendapat , selawat wajib dibaca pada tiap² sesuatu majlis .

8. Ibnu Jarir At-Thabari berpendapat , berselawat kepada Nabi adalah suatu pekerjaan yang disukai sahaja .

9. Ibnu Qashshar berpendapat , berselawat kepada Nabi adalah suatu ibadah wajib .

Kesimpulannya , membaca selawat ke atas Nabi S.A.W adalah suatu amaliah dan ibadah yang terpuji yang amat disukai Allah s.w.t dan para malaikat-nya serta sangat dianjurkan sebagai suatu penghormatan dan memohon rahmat kepada Nabi S.A.W.

Dalil-dalil Hadis Tentang Selawat

1. Sabda Nabi S.A.W “ Dari Ibnu Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Orang yang terdekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.”
– ( Hadis Riwayat At-Trimidzi )

2. Sabda Nabi s.a.w : “ Berselawat atas para Nabi Allah s.w.t dan utusan-Nya sebagaimana kamu berselawat kepadaku kerana mereka itu sama diutuskan sebagaimana aku diutus . “
– (Hadis Riwayat Ahmad & Al-Khatib )

3. Sabda Nabi s.a.w : “ Dari Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : Janganlah kamu jadikan kuburku sebagai tempat perayaan dan berselawatlah kepadaku , maka sesungguhnya bacaan selawatmu itu akan sampai kepadaku dimana sahaja kamu berada . “
– ( Hadis Riwayat Abu Daud )

4. Sabda Nabi s.a.w : “ Tiada dari seseorang yang mengucapkan salam kepadaku melainkan Allah s.w.t menerima ruhku sehingga aku menjawab salam kepadanya. “
– ( Hadis Riwayat Abu Daud )

Berdasarkan dari hadis-hadis , jelas bahawa membaca selawat kepada Nabi s.a.w adalah suatu dari rangkaian iman dan ibadah yang wajib disempurnakan oleh kaum Muslimin dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan . Semoga dengan sentiasa berselawat ke atas Nabi , Allah s.w.t akan memberi rahmat dan keberkatan dalam kehidupan kaum Muslimin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *