Naik Elaun Guru Kafa RM1,500 ‘Jahat’, Naik RM2,500 Baru ‘Baik’?

Penulis yakin bahawa ramai pemimpin, ahli dan penyokong PAS panas telinga apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan bahawa DAP perlu berada dalam Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan Exco PAS Selangor ‘tidak buat jahat’.

Apakah yang dimaksudkan Guan Eng dengan ‘memastikan Exco PAS Selangor tidak buat jahat’? Pelbagai tafsiran boleh dikatakan berdasarkan ayat itu, bukan?

Pada penulis, kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang itu secara tidak langsung menjelaskan bahawa dia tidak percaya kepada PAS selama mereka bersama sejak 2008 lagi. Seolah-olah PAS perlu sentiasa diawasi oleh DAP sebagai ‘pengawas’.

DAP juga nampaknya seolah-olah menuduh para pemimpin PAS selalu terdorong untuk melakukan sesuatu yang jahat atau melaksanakan sesuatu dasar yang dianggap salah dari sudut pandang parti ‘chauvinis’ berkenaan.

Sebagai contoh, hukum hudud. Bagi DAP, mungkin sebarang usaha ke arah perlaksanaan hudud itu dianggap sebagai satu tindakan yang ‘jahat’ dan sebab itulah parti itu membantah serta memutuskan hubungan dengan PAS.

Penulis agak pelik dengan tindakan DAP memutuskan hubungan dengan PAS disebabkan usaha melaksanakan hudud. Kata Guan Eng, DAP perlu ada dalam Kerajaan Negeri Selangor untuk menahan PAS dari melaksanakan sesuatu yang jahat di pandangan mereka.

Tapi bila berkenaan dengan hudud yang mahu dilaksanakan PAS, kenapa pula DAP putuskan hubungan? Kenapa DAP tidak kekalkan Pakatan Rakyat dan memastikan PAS tidak melaksanakan hukum hudud tersebut? Kenapa tidak jadi ‘pengawas’ dalam Pakatan Rakyat?

Ianya adalah bertentangan dengan tindakan DAP dalam Kerajaan Negeri Selangor untuk tidak putuskan diri keluar dari kerajaan tersebut. Kononnya untuk mengawasi PAS? Bila berdepan dengan kehilangan jawatan dalam kerajaan negeri terkaya di Malaysia, tiba-tiba DAP merelakan diri jadi ‘pengawas’?

Paling utama, kenyataan Guan Eng itu seolah-olah menuduh para pemimpin PAS selama ini melakukan perbuatan yang dianggap ‘jahat’ di pandangan mata DAP. Apakah tafsiran perbuatan ‘jahat’ yang Ketua Menteri Pulau Pinang itu maksudkan?

Jika dirujuk pada media, kenyataan Guan Eng itu adalah merujuk pada tindakan Exco PAS Selangor yang menaikkan elaun guru Kafa dari RM1,300 kepada RM1,500 sebulan. Benarkah perlakuan ‘jahat’ yang Guan Eng maksudkan itu merujuk pada kenaikan elaun guru Kafa berkenaan?

Pada pandangan penulis, jika benarlah itu yang dimaksudkan Guan Eng sebagai perlakuan ‘jahat’, maka dia adalah Setiausaha Agung DAP yang paling bodoh dalam sejarah DAP. Selama ini, DAP sering mengkritik kerajaan tidak menaikkan gaji kakitangan awam selaras dengan kos sara hidup yang makin meningkat.

Selama ini juga para pemimpin pembangkang ‘menyalak-nyalak’ mendesak kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam. Jadi apa salahnya Exco PAS naikkan elaun guru Kafa di Selangor? Dengan kos sara hidup yang sangat tinggi berbanding negeri lain, rasanya RM1,500 pun tidak cukup rasanya. Jika penulis jadi Exco PAS itu, penulis naikkan hingga ke paras RM2,500 sebulan!

Penulis sudah bertahun-tahun duduk di Lembah Klang. Dengan gaji RM2,500, ramai yang perlu mengikat perut, apatah lagi RM1,500 bukan? Berbalik pada kenyataan Guan Eng itu, mungkin dia maksudkan Exco PAS perlu naikkan elaun guru Kafa kepada paras lebih tinggi sekitar RM2,500 hingga RM3,000 sebulan, barulah ia dikatakan sebagai ‘buat baik’!

Mungkin Guan Eng tahu bahawa Selangor adalah sebuah negeri yang berpendapatan tinggi seperti Pulau Pinang dan mampu berikan elaun setinggi itu pada guru-guru Kafa di negeri tersebut. Dan mungkin Setiausaha Agung DAP itu menganggap Exco PAS cuba melakukan ‘sabotaj’ dengan menaikkan elaun yang ‘ciput’!

Cuma, penulis ingin mengesyorkan Guan Eng bertindak serupa bikin dengan menaikkan elaun guru Kafa di Pulau Pinang ke paras RM2,500 sebulan kerana kos sara hidup di negeri itu juga semakin tinggi. Pelbagai cukai dinaikkan, tarif air dan letrik juga meningkat, hatta caj-caj lain termasuk caj meletak kereta pun dikenakan sampai larut malam!

Mana cukup RM1,500 untuk hidup di Pulau Pinang di zaman ini, bukan? Jika tidak, maka Guan Eng pun sebenarnya ‘buat jahat’ juga, kan? Bagaimana? Bila hendak naikkan elaun guru Kafa di Pulau Pinang? – Amir Hamzah/Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *