Kelajuan Internet di Malaysia bertaraf “Najis Kumbahan”

Kadar purata kelajuan sambungan internet Malaysia terbukti merosot bagi suku ketiga 2015, sekaligus meletakkannya di kedudukan ke-73 di peringkat global.

Malah, kadar purata kelajuan sambungan internet di Malaysia adalah jauh lebih perlahan berbanding Thailand dan Sri Lanka di rantau ini dan hanya sedikit mengatasi Vietnam.

Hasil tinjauan global oleh Akamai Technologies yang dijalankan pada Julai hingga September lepas menunjukkan kelajuan sambungan di Malaysia adalah 4.9 megabit sesaat (Mbps) iaitu hampir dua kali lebih perlahan dari Thailand.

Akamai Technologies yang juga penyedia rangkaian penghantaran kandungan, dalam satu kenyataan berkata, ini adalah sebahagian hasil laporan ‘2015 State of the Internet (SOTI)’ (Kedudukan Internet 2015) yang diumumkan hari ini.

Menurutnya, biarpun rakyat Malaysia antara yang paling banyak berhubung secara global, malangnya ia tidak berpadanan dengan kelajuan yang diingini mereka.

“Kira-kira 87 peratus pengguna internet Malaysia melayari video secara kerap dan angka itu dijangka meningkat menjelang tahun depan.

“Bagaimanapun, kadar kelajuan sambungan sekarang tidak mungkin dapat menampung permintaan bagi melayari video di Malaysia,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *