Tiada Lagi Jamuan Makan Semasa Dan Selepas Program Kerajaan

Selama ini tiap kali ada mesyuarat kerajaan tidak kira apa jenis peringkat, jenuh jamuan itu dan ini… Sedar tidak sedar Malaysia merupakan antara negara paling ramai orang gemuk di benua Asia.

Kali ini berikutan langkah kerajaan untuk mengoptimumkan segala jenis perbelanjaan rasmi, maka tiada lagi jamuan ketika mesyuarat diadakan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar.

“Semasa mesyuarat pun, sudah tiada kuih muih disediakan. Hanya botol air mineral. Di majlis sebesar ini pun, kami tidak menyediakan makan tengah hari meskipun ia sudah melangkaui jam dua petang.

Beliau kemudian merujuk suasana program yang dihadirinya sempena Majlis Perutusan Khas Pengubahsuaian Bajet 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di PICC di sini pada Khamis.

“Hanya air mineral di dalam botol sahaja yang kami sediakan,” jelas Irwan apabila menyentuh mengenai amalan mengoptimumkan setiap perbelanjaan ketat yang mula dilaksanakan pihak kerajaan pada ketika ini.

Lazimnya apa-apa majlis anjuran kementerian mahu pun agensinya, tetamu dihidangkan dengan jamuan bermula sarapan pagi sehingga makan tengah hari atau minum petang mengikut tempoh durasi majlis tersebut.

“Malah kini tiada lagi penerbangan kelas pertama. Tidak kira anda pegawai tertinggi kerajaan atau siapa pun, mereka hanya boleh diizin menaiki penerbangan kelas perniagaan atau ekonomi sahaja,” katanya.

Langkah itu diambil bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan akibat daripada penyusutan perolehan disebabkan kejatuhan harga minyak mentah global, serta persekitaran ekonomi dunia yang tidak menentu.

Selain itu, semua jabatan kerajaan turut mengambil pelbagai inisiatif dengan berbelanja secara penuh berhemah, antaranya tiada juga sebarang risalah atau buku atucara majlis disediakan seperti mana biasa.

Perdana Menteri ketika membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 telah mengumumkan penjimatan sebanyak RM9 bilion dalam kos perbelanjaan mengurus dan pembangunan berbanding unjuran asal.

Kerajaan kata Najib yang juga Menteri Kewangan, akan tetap meneruskan perbelanjaan berhemah dengan mengutamakan program dan projek yang dikenal pasti berimpak tinggi kepada negara serta rakyat.

Namun begitu berita baiknya ialah pengurangan bajet tersebut tidak pula melibatkan pemotongan emolumen kakitangan awam, pencen pesara malah tidak akan menjejaskan sistem penyampaian kerajaan.

Kerajaan juga tidak akan menghentikan mana-mana penjawat awam termasuk lantikan secara kontrak, sekali gus menepis tohmahan jahat pihak tertentu, kononnya akan berlaku pemberhentian kakitangan awam. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *