1,710 Tong Gas LPG Dirampas Oleh KPDNKK Perak

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak merampas 1,710 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi bernilai RM182,127 di sebuah premis di kawasan Perindustrian Gopeng.

Pengarah KPDNKK negeri, Meor Ismail Meor Akim berkata, dalam Ops Gasak itu, lapan lelaki tempatan berusia antara 30 dan 40 tahun, dipercayai pekerja di premis berkenaan turut ditahan.

Beliau berkata, hasil risikan selama dua minggu, mendapati premis berkenaan menyimpan gas LPG tanpa lesen sah.

“Premis ini juga tidak mempunyai permit untuk menyimpan LPG. Pemilik premis perlu mengetahui garis panduan untuk menyimpan gas LPG bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Meor Ismail berkata, daripada jumlah rampasan itu, sebanyak 48 tong gas seberat 12kg, 942 tong (14 kilogram (kg)) dan lapan tong (50kg) yang berisi LPG dirampas.

“Dalam serbuan yang dijalankan lapan anggota KPDNKK, mendapati tong LPG seberat 12kg, 14kg dan 50kg disimpan di dalam dan luar premis tersebut,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun bagi individu manakala denda tidak melebihi RM2 juta bagi pertubuhan atau syarikat. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *