Catat Sejarah Ahli Politik Pertama Perguna Stadium Untuk Selamatkan Karier Politik?

Khabarnya semalam Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Mukhriz Mahathir telah mengadakan himpunan secara besar-besaran, menghimpunkan ‘berjuta-juta’ penyokongnya yang terdiri dari segala jenis makhluk manusia dan ‘jin’ di Stadium Darul Aman.

Buat julung-julung kalinya, dan mungkin tidak pernah berlaku dalam sejarah seorang ahli politik mempergunakan aset kerajaan negeri untuk menyelamatkan jawatan dan karier politiknya. Sehebat-hebat Dato’ Seri Anwar Ibrahim pun, beliau hanya mampu menggunakan jalanraya sahaja. Tapi Mukhriz mampu pergunakan harta rakyat Kedah untuk selamatkan diri!

Cerita dari rakan-rakan di Kedah turut memaparkan penyokong kuat Sirul Azhar yang hadir bagi memeriahkan majlis gilang-gemilang itu. Hebat sungguh ‘aura’ Mukhriz. Hinggakan Datuk Mahfuz Omar pun berjaya dipujuknya ‘menyertai’ UMNO!

Penulis difahamkan bahawa kononnya Mukhriz telah membuka kaunter daftar pemilih di Stadium Darul Aman semalam. Katanya, kaunter berkenaan telah mendaftarkan lebih 1 juta pengundi baru untuk memenangkan Mukhriz pada PRU 14 nanti. Benarkah dakwaan itu? Atau ia hanyalah cerita-cerita kedai kopi sahaja?

Juga dikhabarkan kononnya Mukhriz telah membuka sebuah lagi kaunter untuk semua yang hadir menyokong beliau semalam mendaftar keahlian masing-masing menyertai UMNO. Lebih 1 juta juga yang mengisi borang menyertai UMNO termasuk Mahfuz. Benarkah desas-desus itu? Atau ia juga seperti cerita ‘kepala perang Mukhriz’ di Facebook?

Arwah Tan Sri Azizan Razak dulu juga pernah menggunakan Stadium Darul Aman untuk kegunaan program politik. Namun beliau gunakan stadium berkenaan bukan untuk kepentingan peribadi dan lebih menjurus ke arah keseluruhan parti PAS di Kedah.

Mungkin Mukhriz tidak pernah dengar ‘himpunan hijau ke Putrajaya’ penggal lalu. Maklumlah ketika itu beliau selalu sibuk bertugas sebagai Timbalan Menteri MITI di ibu negara. Empat bulan sebelum PRU 13 baru beliau kerap sedikit pulang ke Kedah. Kononnya kerana 4 bulan kerja Mukhriz itulah beliau berjaya merampas Kedah dari PAS.

UMNO Kedah sepatutnya sedar bahawa bukan parti mereka yang merampas Kedah kembali dari tangan PAS. Sebenarnya, Kedah dirampas oleh Mukhriz seorang saja dengan jentera beliau sendiri. Beliaulah ‘hero ulung’ dan ‘tunggal’ yang amat digeruni PAS dulu!

Semua Ketua-Ketua UMNO Bahagian di Kedah sepatutnya tunduk sujud pada Mukhriz. Berani sungguh mereka ‘derhaka’ kepada Pengerusi UMNO Kedah. Mereka perlu tahu bahawa Pengerusi UMNO Negeri lebih besar ‘kepala’nya berbanding Presiden UMNO di peringkat Pusat.

Sebenarnya, Mukhrizlah yang ‘melantik’ Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk memegang jawatan Perdana Menteri. Dialah yang ‘paling berkuasa’ dalam UMNO, bukan Najib. Bahkan ‘Najib’lah yang ‘merayu-rayu’ supaya beliau dilantik menjadi Perdana Menteri sebelum ‘Mukhriz’ bubarkan Parlimen dan mengadakan PRU.

Jadi, jangan banyak cakaplah. Kerana beliau anak Tun Dr Mahathir Mohamad, maka beliau ‘betul semua’ dan terlalu ‘hebat’ pengaruh politiknya. Sebab itulah beliau ‘menang’ bertanding Ketua Pemuda menentang Khairy Jamaluddin dan ‘menang no.1’ ketika bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.

Mukhriz sebenarnya tidak wajar ‘diusik’. Kuasanya ‘melebihi kuasa Istana’. Kerana itulah beliau berani keluarkan kenyataan untuk pihak Istana yang katanya ‘murka’. Penulis tidak tahulah sama ada Istana Kedah murka pada Adun Kedah atau sebenarnya murka pada perangai Mukhriz itu.

Mungkin itulah disifatkan seorang anak kelahiran aristokrat seperti Mukhriz. Beliau semahunya ditimang dan dilambung ke atas. Jatuh sedikit mula meroyan cuba heret rakyat dan Istana. Padahal, semua itu cuma taktik beliau untuk perkakaskan mereka demi menyelamatkan diri. Itulah Mukhriz, anak kepada Tun Dr Mahathir… – AmirHamzah/Utaranews.com

One thought on “Catat Sejarah Ahli Politik Pertama Perguna Stadium Untuk Selamatkan Karier Politik?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *