Kerajaan Malaysia Kecam Tindakan Republik Demokratik Rakyat Korea

Malaysia mengutuk pelancaran roket jarak jauh oleh Republik Demokratik Rakyat Korea pada Ahad, serta kesal negara itu masih meneruskan program misilnya.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan malam Ahad berkata, tindakan sedemikian merupakan pencabulan yang jelas terhadap resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

“Tindakan-tindakan sebegini merupakan pencabulan yang jelas terhadap resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan,” kata kenyataan tersebut.

Justeru, Malaysia menggesa Republik Demokratik Rakyat Korea untuk menghentikan serta merta program sedemikian dan mematuhi sepenuhnya resolusi-resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan.

Menurut Wisma Putra, gesaan itu dibuat demi keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Terdahulu, Korea Utara pada awal pagi Ahad telah melancarkan sebuah roket jarak jauh yang didakwanya membawa satelit dari tapak misilnya di barat laut negara itu.

Perkembangan itu merupakan kali kedua negara berkenaan mencetuskan kontroversi antarabangsa tahun ini selepas melakukan ujian bom nuklear  pada 6 Januari lalu.

Pelancaran itu disahkan oleh pegawai pertahanan Amerika Syarikat, Jepun dan tentera Korea Selatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *