Mahfuz hasut rakyat dan tuduh Ahmad Bashah tak amanah.

Rakyat di Kedah tidak marah dengan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Menteri Besar mereka yang baharu ekoran pencapaian akademiknya, sebaliknya rakyat negeri itu mempersoalkan tentang integriti dan tahap amanah yang dimiliki oleh beliau, kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, rakyat kini sudah matang dalam berpolitik dan mereka menilai kepimpinan seseorang itu menerusi sikap amanah, integriti dan kebijaksanaan.

“Inilah negeriku yang dilihat tercemar maruah kerana pemimpinnya, tetapi saya yakin bahawa saya dan Adinda Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) masih punya sokongan rakyat Kedah yang memiliki ketinggian nilai harga diri dan akal budi, beramanah dan berintegriti yang bersedia menebus maruah demi sebuah negeri Kedah tercinta,” tulis Mahfuz dalam kenyataan di Facebook miliknya.

Dalam pada itu, Mahfuz menganggap bahawa pelantikan Ahmad Bashah itu sebagai satu rampasan pesawat yang kemudian disusuli dengan segala ancaman dan ugutan untuk melenyapkan setiap penumpang yang menjadi tebusan sehinggalah kehendak perampas dipenuhi oleh pihak berkuasa.

“Persoalannya, apakah rakyat Kedah gembira dengan mereka mendapat MB baru? Selalunya rakyat pelbagai peringkat rata-rata akan melahirkan rasa gembira dengan memperolehi MB baru.

“Zaman ini mudah untuk menilai perasaan rakyat kerana semuanya diluahkan di media sosial. Inilah juga yang diluahkan perasaan mereka di kala MB baru mengangkat sumpah sebagai MB, rakyat Kedah mengangkat sumpah seranah dan menyampah mereka terhadap Kerajaan baru Kedah,” tulisnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *