One Forteen Dijangkiti Demam Denggi

Tanda tanya mengenai ‘kehilangan’ anggota Forteen, iaitu One yang tidak muncul dalam persembahan kumpulan itu di Anugerah MeleTOP Era 2016 (AME2016) di Pusat Konvensyen CIDB, malam tadi terjawab apabila penyanyi itu dimasukkan ke hospital akibat denggi sejak tujuh hari lalu.

One, 30, atau nama sebenarnya Muhammad Ridzuan Sharifuddin ketika dihubungi berkata, dia sengaja tidak menghebohkan perkara ini kerana masalah kesihatannya tidak begitu serius.

One turut meminta maaf kepada peminat dan rakan-rakannya kerana tidak memaklumkan mengenai keadaan kesihatannya itu.

“Pada mulanya saya tidak mahu membesarkan perkara ini tetapi apabila mula tersebar berita mengenainya di media sosial, ramai mula tahu. Saya minta maaf kerana ramai juga yang bertanya kenapa saya tidak muncul bersama Forteen di AME2016 semalam,” katanya.

One berkata, dia masih ditahan di pusat perubatan di Shah Alam dan belum dibenarkan keluar kerana platelet darahnya masih rendah.

“Hari ini saya akan menjalani ujian darah sekali lagi dan sekiranya tiada sebarang masalah, saya boleh pulang esok (hari ini),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *