UMNO Kedah Dijangka Mampu Pertahan 5 Dun Saja Pada PRU Ke-14 Nanti

Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah dikatakan sedang menuju kehancuran, apabila dijangka hanya mampu mempertahankan sebanyak 5 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) sahaja pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang.

UMNO dan BN dijangka hanya mampu bertahan di Dun Air Hitam (Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir), Dun Jitra (Dato’ Aminuddin Omar), Dun Sungai Tiang (Dato’ Suraya Yaacob), Dun Kulim-Bandar Baharu (Dato’ Norsabrina Mohd Noor) dan kubu kuat UMNO, Dun Guar Chempedak (Dato’ Dr Ku Rahman Ku Ismail).

Melihat pada perkembangan politik dalaman UMNO Kedah yang bergoncang teruk dan berlarutan tiada penyelesaian sehingga hari ini, PAS dijangka menyapu bersih majoriti Dun di negeri itu.

Manakala Parti Amanah Negara (Amanah) akan ‘mencuri’ 3 Dun di kubu kuat mereka di dalam Parlimen Kuala Kedah, dan dijangka DAP yang mungkin memperkukuh di Dun Kota Darulaman serta berpeluang menang di Dun Kulim.

Penulis menjangkakan BN akan hilang kuasa tersebut sekiranya Mukhriz kekal menjadi Menteri Besar dan Pengerusi UMNO Negeri Kedah sehingga PRU ke-14 nanti, dan kehendak semua 14 UMNO Bahagian di Kedah berjaya digagalkan oleh kem anak mantan Perdana Menteri itu.

Namun begitu, kegagalan BN untuk kekal berkuasa pada PRU ke-14 nanti juga dijangka tidak akan menjejaskan reputasi Mukhriz kerana beliau berkemungkinan besar akan menuding jari menyalahkan Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang sering beliau perlekehkan selama ini.

Namun sekiranya UMNO mengambil keputusan memecat Mukhriz, maka walaupun BN masih berpeluang untuk menang majoriti mudah sekali lagi, parti berkenaan dijangka bakal menerima serangan bertubi-tubi dari anak Tun Dr Mahathir itu khususnya dari golongan ‘pemakan-pemakan dedak’ di media sosial yang dikatakan ‘gemuk dibela’ beliau.

Jika itu berlaku, maka UMNO dijangka menghadapi musuh politik sedia ada dan terpaksa pula berhadapan dengan ‘penderhaka’ parti yang sebelum ini mendabik dada kononnya ‘pejuang UMNO’ yang ‘tulen’.

Apa yang penulis kesalkan, nampaknya percaturan politik Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletakkan anak kesayangannya bertanding di peringkat negeri hanya ‘memakan diri’ dan menjejaskan masa depan karier Mukhriz yang lebih berpotensi sebagai menteri kabinet di peringkat pusat.

Bukan itu saja, percaturan Mahathir itu juga penulis lihat telah menjejaskan keharmonian politik Kedah yang sebelum ini begitu bersemangat dan bersatu padu setelah berjaya merampas pentadbiran kerajaan negeri dari PAS pada 2013 lalu.

Nampaknya, Mukhriz bukan saja gagal mengemudi kerajaan negeri, malah beliau dikatakan gagal untuk mendapat mandat politik dari semua Ketua-Ketua UMNO Bahagian di Kedah. Maka mungkin kegagalan politik itu mampu memberi petanda jelas tentang sebab Mukhriz gagal menang bertanding beberapa jawatan penting kepimpinan UMNO sebelum ini.

Mungkin sudah ditakdirkan Tuhan bahawa anak-anak Mahathir hanya sesuai jadi peniaga. Mukhriz juga mungkin lebih handal berniaga sebagaimana desas-desus yang menceritakan kehebatan ketika beliau menerajui OPCOM, dan dakwaan membolot hampir semua projek mega membabitkan jalur lebar fiber optik sebelum aktif berpolitik dulu.

Pada pandangan penulis, kemelut politik dalaman memberikan impak yang sangat negatif pada UMNO Kedah. Mukhriz sememangnya perlu ditukar atas ketidakupayaan beliau, namun reaksinya yang tidak sedar diri untuk mengakui kelemahan beliau itu sama sekali telah merosakkan parti berkenaan.

Tidak terlalu melampau jika penulis mengatakan situasi ini memberi kesan ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’. Malangnya sama ada arang atau abu, ia tetap melibatkan politik dalaman UMNO sebuah parti yang banyak berjasa pada Islam, bangsa Melayu dan tanahair.

Secara tidak langsung, bukan saja kedegilan Mukhriz itu telah menyusahkan pihak Istana Anak Bukit yang diheret Menteri Besar itu ke kancah kepentingan politik beliau, malah rakyat Kedah juga turut bingung dengan ketidak matangan politik anak Mahathir itu. – AmirHamzah/Utaranews.com

One thought on “UMNO Kedah Dijangka Mampu Pertahan 5 Dun Saja Pada PRU Ke-14 Nanti

  • February 3, 2016 at 12:09 pm
    Permalink

    Sekarang putera kerala si botak ni boleh tinggal secara tetap di kolompor.
    Tak payah ulang alik.
    Ada ke anak2 maddey yang berjasa kepada rakyat?
    Marina pro kristian? mokhzani billionaire? Mamak maddey Raja Kroni?

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *