‘Mukhriz Kena Patuh Dengan Peraturan Parti’ – Ahmad Bashah

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah, boleh menerima keputusan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, untuk terus kekal dalam parti.

Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah berkata, Mukhriz perlu mematuhi segala peraturan, disiplin dan perlembagaan ditetapkan dalam UMNO.

“Tak ada masalah nak duduk sebagai ahli parti, cuma kena terima UMNO ada peraturan dan perlembagaan, kalau nak kekal kena patuhlah,” katanya.

Beliau mengulas keputusan Mukhriz bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden UMNO digantung jawatan serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, semalam untuk kekal dalam parti.

Sementara itu, Ahmad Bashah dijangka menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) secara rasmi minggu depan selepas mesyuarat lembaga KFA.

Beliau berkata, semua urusan membabitkan KFA dijalankan Timbalan Presidennya, Datuk Syed Unan Masri Syed Abdullah, buat masa ini, termasuk hal berkaitan tajaan pasukan.

Katanya, ia merangkumi tajaan syarikat D’Herbs Healthy Sdn Bhd dengan mesyuarat susulan akan dijalankan dengan pengasas syarikat itu, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, di Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *