Teguran Annuar Musa Kepada Muhyiddin Yassin

Susulan sidang media Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis yang melihat beliau memilih untuk kekal di dalam UMNO biarpun dihimpit kemelut di dalam parti dan kerajaan, beberapa pemimpin parti tampil memberi reaksi.

Antaranya Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa yang mengeluarkan kenyataan pada Khamis berhubung pendirian Muhyiddin itu.

Berikut ialah kenyataan beliau:

“KENYATAAN Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) bahawa beliau ingin terus kekal bersama UMNO telah kita duga dan kita harus mengalu-alukannya.


Ia membuktikan UMNO adalah satu-satunya wadah terbaik untuk perjuangan membela AGAMA, BANGSA DAN NEGARA dan umat Melayu dan Bumiputera, terutamanya harus kekal bersatu di bawahnya.


Keluar parti atau menyertai parti lain bukanlah satu pilihan yang bijak dalam konteks realiti politik negara hari ini.


Sebagai ahli, kita berharap TSMY berfikir semula tentang cara beliau bertindak dalam parti. Kita dalam MT ketahui beliau selama ini tidak banyak bersuara dalam mesyuarat, jauh sama sekali bersikap lantang.


Saya menjadi ahli MT sejak lebih dari 25 tahun lalu dan TSMY bukanlah seorang yang banyak bersuara dlm MT. Ini jauh berbeza dari apa yang beliau cuba gambarkan sekarang.


Sebab itulah ramai kalangan sahabat yang merasa hairan kenapa secara tiba-tiba kini beliau BERSUARA LANTANG DI LUAR, termasuk mengungkit isu yang beliau sendiri tidak pernah membawanya dlm MT secara berterus terang.


Di sinilah timbul tanggapan TSMY kini berbuat demikian kerana beliau mempunyai agenda peribadinya sendiri.


Dan inilah yang menyebabkan beliau ditolak oleh hampir semua ahli MT, dan bahagian-bahagian UMNO.


Dengan menyatakan beliau menegur dengan ikhlas sahaja tidak mencukupi, TETAPI KEIKHLASAN ITU HARUS TERNAMPAK JELAS DAN MESTI BERSULAMKAN KEBIJAKSANAAN, HIKMAH DAN HASANAH.


Tindakan yang jelas mengikut rentak musuh dan nyata membawa keburukan SUDAH TENTU BAKAL DITOLAK OLEH JUTAAN AHLI UMNO YANG LAIN, YANG JUGA IKHLAS INGIN MELIHAT PARTI INI tidak menjadi mangsa musuh yang ingin memporak perandakan.


Tariklah rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berkecai.


Fikir-fikirkanlah supaya nampak sebagai pemimpin untuk naik ke jawatan Presiden bukan cara UMNO, walaupun mungkin TSMY pernah berjaya berbuat demikian terhadap Pak Lah satu ketika dahulu.


Bagi kita, tidak sukar untuk memahami cara yang dipilih TSMY sebelüm ini. Nilailah semula sementara peluang masih ada. Usah memilih untuk tidak membantu presiden.


Jangan didorong keyakinan yang Dato’ Seri Mohd Najib mahu dijatuhkan dan dengan itu beliau berpeluang menjadi Perdana Menteri bersama Timbalan Perdana Menteri pilihannya sendiri.


Kesilapan percaturan ini telah membawa padah apabila cara ini sama sekali ditolak oleh saf pimpinan UMNO semua peringkat sama ada Nasional, Negeri, Bahagian dan Cawangan.


Fikirlah semula.


Sebagai ahli parti, TSMY kini mempunyai hak seperti mana termaktub dalam Perlembagaan UMNO dan kita percaya beliau akan guna hak itu sepenuhnya.


Namun harus diingat, bersama hak sebagai ahli datangnya tanggungjawab ahli pada parti dan hak parti itu sendiri terhadap ahli termasuk tataetika dan disiplin yang wajib dipatuhi.


Adalah penting bagi MT mempastikan perkara ini dikuatkuasakan tanpa memilih pangkat dan kedudukan seperti TSMY sendiri lakukan berkali-kali sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan.


Sesiapa sahaja yang memilih menjadi ahli WAJIB mematuhi keputusan Parti, BERSATU DLM PARTI, BERSETIA DENGAN PIMPINAN DAN BERKHIDMAT KEPADA AGAMA, BANGSA DAN TANAH AIR DENGAN JUJUR DAN IKHLAS PERCAYA PADA QADHA DAN QADAR ALLAH SWT.


Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah agar bukan sekadar bertindak berani tetapi juga bertindak bijaksana.


Wallahualam…”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *