Liyana Jasmay Fobia Dengan Peminat Di Sabah


BERGELAR pelakon terkenal sebenarnya tidaklah semudah disangka. Meskipun popular dan dibayar dengan harga yang mahal untuk sesebuah projek, namun di sebalik kehidupan glamor adakalanya mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai ragam peminat fanatik yang ‘menggila’.
Berkongsi pengalaman itu, penyanyi lagu Aku Tak Percaya Cinta dan Jujur, Liyana Jasmay turut memiliki pengalaman serupa ketika menemani suaminya bertugas di Sabah beberapa tahun lalu.
Pengalaman itu bukan sahaja menakutkan dirinya, bahkan fobia untuk ke negeri terbabit.
“Sekarang saya agak sibuk dengan beberapa urusan kerja. Nanti bila ada masa saya akan ke Sabah menemani suami di sana. Cuma saya ada masalah sikit untuk ke sana semula. Saya fobia,” kata Liyana Jasmay.
“Pernah beberapa tahun lalu semasa di sana, masa itu saya keluar untuk beli barang. Saya sendirian tanpa ditemani suami.
“Masa tengah leka memilih barang, rupa-rupanya ramai peminat yang cam kehadiran saya. Masa itulah saya diekori dan ia agak menakutkan kerana saya bersendirian.
“Lebih menakutkan, mereka ekori lagi sampai ke kereta saya. Memang takut.
“Sejak peristiwa itu, saya tidak berani lagi hendak ke mana-mana bersendirian tanpa ditemani sesiapa,” ceritanya.
Bukan setakat itu sahaja jelas Liyana, suaminya juga menjadi mangsa stalker dan individu yang tidak bertanggungjawab.
“Suami saya pun jadi mangsa. Kadang-kadang ada orang datang dan nak ambil gambar dengan dia.
“Ada juga yang cakap, tak dapat bergambar dengan Liyana Jasmay dapat bergambar dengan suami dia pun boleh.”
Apa yang terjadi kepada Liyana sebenarnya satu perkara biasa yang sering berlaku kepada ramai artis popular lain.
Ada yang diekori sampai ke rumah, panggilan misteri berulang kali, diugut bunuh dan sebagainya. Apa-apa pun, berhati-hatilah dan jaga keselamatan diri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *