Mahathir Sebenarnya Mahu Mukhriz Jual Belacan Di Jerlun?


Penulis ‘setuju’ dengan kenyataan bekas Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir yang mengatakan ‘tidak masuk akal’ untuk bapanya berusaha mahu menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri di negara ini.
Memang ‘benar’. Bapanya Tun Mahathir Mohamad ‘bukannya’ mahu menaikkan beliau menjadi Perdana Menteri, namun mungkin hanya mahu melihat Mukhriz menjadi ‘orang biasa yang berniaga belacan’ yang terkenal di Jerlun. Percaya?
Pada pandangan penulis, Mukhriz sebenarnya bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri. Beliau sedar, kedudukan politiknya kini ‘malap’ berbanding ‘rival’ politiknya, Khairy Jamaluddin, yang kini berjawatan Menteri dan Ketua Pemuda UMNO.
Memahami cita-cita anaknya itu, maka mungkin kerana itu Mahathir tampil bantu anaknya. Bapa manalah yang tidak faham ‘signal’ anaknya, bukan? Jadi, menggunakan saki baki pengaruh yang masih ada, apalah salahnya jika Mahathir bantu anaknya sendiri, bukan?
Mahathir mungkin sedar karier Mukhriz dalam UMNO juga ‘kelam’. Anaknya tu gagal merebut jawatan Ketua Pemuda dan Naib Presiden UMNO walaupun ‘popular’. Seperti Anwar, biarpun popular, tidak semestinya mereka akan menjadi pilihan pengundi sebenar.
Jadi, untuk merealisasikan cita-cita Mukhriz, maka Mahathir mungkin terpaksa menggunakan ‘skrip lama’ yang pernah diguna pakai untuk menjatuhkan Almarhum Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdullah Ahmad Badawi dulu.
Gagal cara menaikkan anaknya dari dalam parti, mungkin anak beranak itu terpaksa gunakan strategi ‘paksa turun’ dengan menggunakan beberapa isu sebagai ‘peluru’. Jadi, tidak kiralah ‘peluru’ itu bersifat ‘fitnah’ atau tuduhan berasaskan fakta rekaan, mereka terpaksa guna.
Strategi mereka adalah cuba mempengaruhi rakyat menerusi hujah-hujah dangkal yang bersandarkan fakta-fakta palsu Sarawak Report. Dengan populariti yang ada, mereka cuba jatuhkan Dato’ Seri Najib Tun Razak secara paksa.
Memandangkan mereka gagal mempengaruhi ahli UMNO untuk jatuhkan Najib seperti yang dilakukan terhadap Pak Lah dulu, maka mereka terpaksa menjilat kahak yang diludah dulu dengan ‘bersenggama’ dengan musuh politik paling banyak mereka hina dulu, DAP.
Itu namanya strategi ‘terdesak sangat’. Mungkin melihat tindakan terdesak itu maka ramai yang berpandangan bahawa jika ‘iblis syaitan’ pun sama mahu jatuhkan Najib, mereka sanggup bersekongkol dengannya. Jadi, tidak hairanlah jika sangat akrab dengan media asing yang mereka tuduh sebagai ‘proksi Yahudi’ sebelum ini.
Sehingga kini, Mahathir tidak setuju Anwar jadi Perdana Menteri menggantikan Najib. Katanya, Anwar tidak sesuai jadi Perdana Menteri disebabkan faktor umur yang terlalu tua dan terpalit dengan pelbagai skandal tidak bermoral.
Jika dirujuk pada alasan ‘umur’, maka ramai yang dapat meneka maksud sebenar di sebalik kenyataan Mahathir itu. Siapakah calon Perdana Menteri yang masih ‘muda’ yang beliau maksudkan? Muhyiddin masih muda untuk jadi Perdana Menteri? Jangan buat lawak!
Siapa lagi jika bukan Mukhriz? Takkan Mahathir maksudkan Khairy Jamaluddin yang tewaskan anaknya dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO?
Hendak sebut nama Mukhriz sebagai calon pilihan, rasa malu pula pada rakyat. Nanti nampak sangat mahu naikkan anak sendiri. Nanti ada pula yang menuduh mahu jadi seperti Lee Kuan Yew dan Lim Kit Siang yang mencipta ‘dinasti’ di Singapura dan DAP.
Jadi penulis memohon kepada penyokong-penyokong Mahathir dan Mukhriz, tolonglah bantu dua anak beranak ‘maksum’ itu. Mintalah sesiapa sebut ‘kami mahu Mukhriz jadi Perdana Menteri’. Takkanlah Mahathir pula yang perlu sebut begitu. Nanti apa pula kata orang, bukan? – AmirHamzah/Utaranews.com

2 thoughts on “Mahathir Sebenarnya Mahu Mukhriz Jual Belacan Di Jerlun?

  • April 24, 2016 at 12:18 pm
    Permalink

    Belacan cap BOBOI!

    Reply
  • April 24, 2016 at 1:45 pm
    Permalink

    Malu dgn gelagat mrk nie…
    Udah2 la…kami tak nak legasi 22 tahun wujud kembali!!!!
    Hanya untungkan waris dan kroni!!!!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *