Mukhriz Tak Perlu Berlagak Terlalu Suci…

Khabarnya bekas Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir pernah berkata kononnya beliau sanggup kehilangan jawatan dan tidak sanggup melihat penyelewengan dilakukan di atas nama UMNO. Begitulah yang dikatakan ‘pemakan dedaknya’.

Terkesima penulis dibuatnya dengan kata-kata ‘suci’ itu. Kelihatan sungguh telus dan suci benar Mukhriz itu lagaknya. Bagaikan berjubah dan mengalunkan ‘ya hanana’ dengan serban disangkut di bahu, beliau bagaikan ‘ulama’ taraf wali. Terharu sungguh!

Khabarnya, kenyataan itu dibuat untuk menyindir Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak. Maklumlah, Mukhriz dan bapanya Mahathir begitu bersungguh-sungguh menuduh Najib dengan pelbagai tuduhan. Tujuannya hanya satu, ‘jatuhkan Najib dari kerusi Perdana Menteri’.

Malangnya, setiap kali menuduh, maka setiap kali itulah dua beranak itu kantoi, dimatikan hujah mereka. Bukan hanya dimatikan hujah, malah anak beranak itu terpaksa bermuka tembok menahan malu bila tuduhan mereka dibuktikan bohong!

Semuanya gara-gara RM2.6 bilion. Kerana wang besar itu, mereka jadikan modal untuk membuat tuduhan terhadap Najib. Sejak dari awal lagi mereka menuduh Najib ‘menyamun’ wang dari 1MDB seperti yang dipetik dari Wall Street Journals (WSJ).

Padahal, WSJ pun petik dari laporan Sarawak Report (SR)! Siapa yang tidak kenal dengan SR yang begitu popular dengan kehebatannya membeli dokumen, mengubahsuai dokumen dan membuat fitnah berdasarkan dokumen yang sudah diubah suai.

Mengapa tidak saman SR? Waran tangkap sudah dikeluarkan terhadap pemilik SR, Claire Brown. Wanita keji itu tidak berani jejak ke Malaysia, kerana dia tahu tentang fitnah yang sengaja dibuat untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri.

Untuk apa saman SR dan WSJ? Tidak perlu saman pun. Mahathir dulu beratus kali difitnah media asing, tapi satu pun beliau tidak saman. Kenapa? Kerana beliau sedar, tindakan menyaman mereka hanyalah sia-sia saja. Apatah lagi dengan sistem perundangan negara luar yang lebih rumit dan berbeza dengan Malaysia, hanya buang masa dan wang saja.

Lagipun, tindakan menangkap pemilik SR untuk disiasat adalah lebih praktikal berbanding bermain dengan undang-undang negara luar. Jika di Malaysia pun pihak pembangkang begitu bijak memanipulasi undang-undang, apatah lagi di luar negara.

Berbalik pada Mukhriz, beliau berpegang pada fakta dari Claire Brown? Beliau percaya pada penipu itu? Bagaimana jika Xavier Justo keluar dari penjara Thai nanti? Jika Justo berjaya dibawa masuk ke Malaysia, ketika itu mungkin Mukhriz akan mula menggaru kepala botaknya walau pun tidak gatal…

Dalam pengakuan Justo di Thailand sebelum ini, terang-terang dia akui menjual dokumen kepada Claire Brown. Malah bekas editor SR sendiri yang sudah bertaubat, Lester Melanyi, juga telah berkali-kali mendedahkan tentang Claire yang memaksanya mengubah suai semua fakta dan dokumen tersebut. Pada fakta palsu itu Mukhriz berpegang?

Lebih menarik lagi, Menteri Luar Arab Saudi pula mengesahkan RM2.6 bilion itu adalah sumbangan dari Keluarga DiRaja Saudi. Bertambah ‘gatal’ pula kepala dibuatnya! Beliau dan bapanya kata wang itu ‘disamun’ dari 1MDB, tapi Kerajaan Saudi pula sahkan wang itu dari negara mereka, sekaligus menafikan wang itu dari 1MDB!

Siapa yang bohong? Kerajaan Arab Saudi atau Mukhriz Mahathir? Arab Saudi tiada sebarang kepentingan di Malaysia. Khabarnya, tujuan dana itu disumbangkan pada Najib adalah untuk membantu beliau dari sudut kewangan untuk menjaga kepentingan umat Islam di rantau ini, dan memastikan kerajaan BN kekal mentadbir Malaysia.

Apa pula alasan Mukhriz? Ramai yang melihat tindak-tanduk Mukhriz adalah untuk menjatuhkan Najib demi kepentingan politiknya yang suram. Khabarnya, Najib perlu dijatuhkan untuk mengangkat Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dan Mukhriz menjadi Timbalannya.

Kemudian selepas sepenggal, Muhyiddin ‘wajib’ turun dari kerusi Perdana Menteri untuk memberi jalan kepada yang ‘lebih muda’ untuk menjadi Perdana Menteri? Itu yang direncanakan Mahathir untuk survival kepentingan politik Mukhriz? Jika begitu, maka penulis yakin ramai yang boleh menilai siapa sebenarnya yang berbohong, bukan?

Jadi, tidak perlulah Mukhriz berlagak ‘suci’ sangat, kononnya sanggup letak jawatan dari lihat penyelewengan berlaku atas nama UMNO. Tiada penyelewengan berlaku atas nama UMNO, melainkan Mukhriz sendiri yang ‘terseleweng’ dari perjuangan parti untuk kepentingan peribadinya sendiri.

Sudah-sudahlah temberang rakyat, kami sudah jelak dengan retorik politik ‘ala-ala Kerala’. Jika bercakap soal seleweng, Mukhriz boleh tanya Mahathir tentang cerita di sebalik tabir tentang skandal Perwaja, MAS, MISC dan banyak lagi di sepanjang 22 tahun diktator itu memerintah.

Itupun jika bapanya mahu cerita yang benar. Jika ditemberangnya Mukhriz, maka Mahathir akan jadi setaraf seperti Claire Brown. Jangan rasa bapanya itu terlalu suci seperti apa yang ditulis dalam ‘Doctor In The House’, boleh ‘muntah hijau’ dibuatnya! – AmirHamzah/Utaranews.com