Sampai Bila Umat Islam Hendak Biarkan Diri Tertipu?

Sudah berkali-kali dipesan, namun mungkin disebabkan terlalu malas untuk berfikir dan mencari jawapan, ramai juga rakyat Malaysia yang masih tertipu dengan segala macam jenis propaganda politik kotor yang tersebar di media-media sosial.

Puas Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan agensi kerajaan berkempen, cuba menyedarkan, memberi peringatan dan hebahan, namun masih ramai yang melibatkan diri dengan dosa fitnah.

Baru-baru ini tersebar imej bergambar yang memaparkan perbualan di aplikasi sosial, kononnya habis wang simpanannya di dalam Tabung Haji sebanyak RM30,000 ‘disedut’ oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) bagi menjelaskan hutang pengajian tertunggak.

‘Printscreen’ berkenaan tersebar meluas di Whatsapp, Facebook dan sebahagian besar media sosial popular di Malaysia sehingga meresahkan ramai pihak. Cuba pula digambarkan melalui imej berkenaan, kononnya kerajaan terlalu zalim terhadap rakyat.

Namun mujurlah Tabung Haji cepat mengesan fitnah berkenaan dan menegaskan bahawa ianya adalah sebahagian dari fitnah pihak tertentu untuk memburuk-burukkan agensi yang telah menghantar berjuta-juta umat Islam di Malaysia ke tanah suci Makkah menunaikan haji.

Seperti yang kita sedia maklum, boleh dikatakan hampir seluruh umat Islam di Malaysia menabung di Tabung Haji tanpa mengira fahaman, ideologi atau parti politik. Sehingga kini, Tabung Haji memberi khidmat cemerlang dan menjadi sanjungan serta contoh bagi negara-negara Islam yang lain.

Malah Tabung Haji juga boleh diandaikan sebagai antara agensi terkaya di negara kita dengan pemilikan aset, aliran tunai dan cemerlang menguruskan ekonominya. Bernilai berbilion-bilion ringgit, sudah tentu ada pihak-pihak tertentu yang ‘cemburu’ pada Tabung Haji sebagai sebuah agensi ekonomi umat Islam yang kaya.

Mungkin disebabkan itu, maka ia menjadi mangsa serangan pihak-pihak tertentu, khususnya mereka-mereka yang suka bermain sentimen politik dan memecah belahkan umat Islam di negara ini. Mungkin mereka tidak senang melihat kehebatan Tabung Haji menjamin ekonomi umat Islam di negara kita.

Sebelum ini, Tabung Haji pernah diserang dan difitnah membabitkan pembelian sebidang tanah TRX yang melibatkan urus niaga dengan 1MDB. Hasil fitnah pihak berkenaan, terdapat segelintir umat Islam yang bertindak melulu mengeluarkan wang deposit mereka dari Tabung Haji beramai-ramai. Kononnya, takut wang mereka ‘hilang’!

Sehingga kini, tidak ada seorang pun yang kehilangan wang yang disimpan di dalam Tabung Haji. Yang hilang adalah peluang mereka-mereka yang terpengaruh dengan propaganda tersebut dan mereka difahamkan terpaksa mendaftar semula serta menunggu giliran hampir 83 tahun untuk ke tanah suci. Siapa yang rugi sekarang?

Dan kali ini, Tabung Haji dan PTPTN sekali lagi menjadi bahan fitnah. Difahamkan ada juga umat Islam yang terpedaya yang mengeluarkan wang mereka dari Tabung Haji. Biarkan mereka dan penulis harap mereka akan mendapat ‘pengajaran’ dari tindakan tersebut.

Cuma yang penulis hairankan ialah sikap segelintir umat Islam yang terlalu mudah percaya tentang sesuatu hal, khususnya di media sosial tanpa usul periksa. Bila sudah terkena, barulah tepuk dahi menyesal. Pepatah Melayu berkata, sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna!

Lagipun, di akhir zaman ini Rasulullah SAW sudah berpesan bahawa kita sememangnya terdedah fitnah yang berleluasa. Namun berapa orang agaknya yang menghafal sekurang-kurangnya 10 ayat dari surah Al-Kahfi untuk melindung diri dari fitnah?

Walaupun menyedihkan, namun kita semua belum terlambat untuk bertaubat selagi nyawa belum tiba dihalkum dan selagi hari kiamat belum kunjung tiba. Siapkan diri masing-masing, teguhkan iman masing-masing agar kita semua terhindar dari permainan ‘dajal-dajal kecil’ di media sosial itu… – AmirHamzah/Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *