Ahmad Bashah Buktikan Populariti, Status Aristokrat Tak Jamin Masa Depan Rakyat Kedah

Sebetulnya penulis baru pulang bertandang ke Kedah semalam. Saja penulis ke sana untuk melihat sendiri perkembangan negeri itu selepas 100 hari ditadbir urus oleh seorang Menteri Besar berkelulusan SPM dan sering dihina ‘lena’ oleh Dato’ Seri Mukhriz Mahathir.

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, itulah nama Menteri Besar yang sering menjadi bahan hinaan Mukhriz dan penyokong taksubnya. Siang malam, Ahmad Bashah dihentam kerana dikatakan menjadi penyebab ‘boss’ mereka dilucut jawatan Menteri Besar.

Awal-awal lagi mereka pergunakan penyokong bola sepak Kedah dan Stadium Darul Aman untuk meraih simpati. Hasilnya, imej Ahmad Bashah buruk di mata mereka. Mukhriz pula kaitkan Ahmad Bashah sebagai ‘lena’ sejurus selepas meletak jawatan.

Biarpun dihina, banyak juga yang telah dilaksanakan Ahmad Bashah dalam tempoh 100 hari memegang jawatan Menteri Besar. Malah beberapa perkara yang dulu gagal diselesaikan Mukhriz dan ‘diperam’ bertahun pun berjaya diselesaikan Ahmad Bashah.

Sebagai contoh, janji Kerajaan Negeri untuk memberi tanah kepada pemain bola sepak Kedah yang memenangi ‘double treble’ pada 2007-2008 dulu gagal ditunaikan Allahyarham Ustaz Azizan dan Mukhriz, namun Ahmad Bashah berjaya selesaikan.

Jika sebelum ini Mukhriz canangkan pahalanya menderma wang gajinya untuk pondok agama di Kedah, namun Ahmad Bashah sumbangkan RM1.7 juta untuk sekolah agama rakyat, peruntukan tunai RM10,000 dan RM20,000 untuk Maahad Tahfiz menguruskan pembelian kitab untuk setiap tahun. Malah golongan huffaz turut diberi elaun bulanan sebagai penghargaan kepada sumbangan mereka di negeri itu.

Lebih mengujakan, litar lumba yang sebenarnya sangat mudah dibina namun ‘diperam menjadi jeruk’ oleh Mukhriz selama 3 tahun, akan dibina Ahmad Bashah dalam tahun ini. Maksudnya, perkara yang 3 tahun tidak dilaksana oleh lulusan universiti luar negara, berjaya dilaksanakan dalam 1 tahun saja oleh lulusan SPM.

Penulis cemburu pada Kedah kerana memiliki Menteri Besar seperti Ahmad Bashah. Hendak diharapkan Ketua Menteri penulis di Pulau Pinang ini, mati hidup semula pun belum tentu dia akan menjaga kebajikan umat Islam dan bangsa Melayu seperti Ahmad Bashah lakukan.

Ahmad Bashah mungkin tidak popular dan tidak kacak seperti Mukhriz. Beliau juga bukan anak negarawan. Namun tempoh 100 hari Ahmad Bashah berjaya membuktikan bahawa populariti, ijazah universiti mahu status aristokrat tidak menjamin nasib serta masa depan rakyat Kedah.

Pada pandangan penulis, hanya mereka yang ‘buta’ dan ‘taksub’ saja yang akan menyokong Mukhriz dan menghina Ahmad Bashah. Bagi mereka yang menggunakan akal untuk berfikir, mereka akan akui bahawa Kedah lebih memerlukan Ahmad Bashah berbanding Mukhriz. – AmirHamzah/Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *