Budiman Diterima Pengundi Sungai Besar

Pemilihan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN), mendapat sokongan pengundi kawasan Parlimen tersebut yang rata-rata menyifatkan beliau sebagai seorang rajin bekerja untuk rakyat.

Pengundi Parlimen Sungai Besar, Sulaiman Parsi berkata, Budiman merupakan pilihan dirinya berikutan beliau mempunyai ‘fixed deposit’ yang baik kerana memiliki kekuatan akar umbi.
“Budiman sudah ada ‘aset’ dia sendiri, dia ada pengikut lebih kurang 7,000 lebih ketika menang di peringkat DUN. Maknanya pengundi di luar akan bertambah sebab dia memang bekerja kuat. Selepas dia menang dia memang bekerja kuat, siang dan malam bersama-sama (arwah) Noriah Kasnon),” kata Sulaiman.
Perkara sama dikongsi, Ahli Jawatankuasa Puteri Bahagian Sungai Besar, Norsiah Abdullah yang menyifatkan Budiman seorang wakil rakyat sangat disukai rakyat dan juga perwakilan Puteri UMNO sendiri.
Malah untuk bekerjasama dengan beliau adalah lebih mudah kerana beliau pemimpin yang sangat komited, kata Norsiah.
“Saya memang bekerja dia. Komitmen dia sangat ‘tip top’ malah rapat dengan masyarakat, malah jika ada rakyat yang mengalami masalah kesihatan mahupun kematian beliau akan datang menghulurkan bantuan,” katanya.
Sementara itu bagi pengundi bukan Melayu, Suresh Kumar Marimuthu mengharapkan supaya calon BN tersebut akan memberi khidmanya membantu semua masyarakat tidak mengira kaum.
“Ketika di peringkat DUN, memang saya ada undi untuk dia, bila dia juga dicalonkan untuk Parlimen Sungai Besar saya sangat suka. Kita memang minat sama Budiman kita akan sokong dan BN akan menang,” katanya.
Budiman pada Jumaat diumumkan sebagai calon PRK Sungai Besar oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggantikan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon yang telah meninggal awal Mei lalu.
Noriah terbunuh dalam tragedi helikopter terhempas ketika penerbangan dari Betong ke Kuching di Sarawak ketika berkempen semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) tersebut.
Turut terbunuh ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai; pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang, Kapten Rudolf Rex Ragas.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, BN memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar dengan majoriti tipis kepada calon PAS dengan 399 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan penamaan calon bagi PRK Sungai Besar adaah pada 5 Jun dan hari mengundi ditetapkan 18 Jun depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *