Sesi Q & A: Mahathir Kata, Penyokong UMNO Tulen Jawab

Mahathir: Apakah Yang Berhormat-Yang Berhormat tidak tahu dan tidak sedar akan skandal-skandal yang melibatkan Perdana Menteri yang memburukkan imej UMNO dan imej negara?

Jawapan: Yang Berhormat-Yang Berhormat semua tahu dan sedar tentang imej Perdana Menteri yang diburuk-burukkan Mahathir. Hasil dari perbuatan memburuk-burukkan Perdana Menteri itulah maka imej UMNO dan negara terjejas.

Mahathir jejaskan imej buruk Perdana Menteri dari sumber Sarawak Report yang kemudian dipetik agensi media lain. Perdana Menteri tidak perlu saman media-media itu kerana Mahathir pun tidak berbuat demikian ketika diburukkan media antarabangsa ketika menjadi Perdana Menteri.

Mahathir: Jika tidak sedar saya perturunkan di sini sedikit sahaja dari salah-laku Najib supaya Yang Berhormat dapat faham akan betapa seriusnya kerosakan yang dilakukan oleh Najib.

Jawapan: Apa yang dituduh Mahathir di bawah sudah dijawab berkali-kali secara telus dan berfakta. Sedangkan, perlbagai skandal dan salah laku Mahathir sepanjang 22 tahun dulu masih banyak lagi belum beliau jelaskan kepada rakyat.

Mahathir: a) Najib menubuh “Dana Kekayaan Negara” dengan meminjam RM42 billion, – sekali gus meningkatkan hutang negara kerana hutang ini dijamin oleh Kerajaan. Tak mungkin syarikat hutang 42,000 kali ganda modal tanpa jaminan.

Jawapan: Semua hutang 1MDB sudah dilunaskan sepenuhnya dan kini syarikat itu memiliki dana dalam bentuk tunai yang boleh dianggap sebagai pendapatan atau untung pelaburan syarikat. CEO 1MDB sudah jelaskan hal ini.

Mahathir: b) Pelaburan yang dibuat semuanya rugi sehingga tidak dapat bayar faedah pun.

Jawapan: Tuduhan Mahathir tidak tepat. Faedah tidak dapat dibayar kerana aset pelaburan belum cukup matang untuk peroleh keuntungan. Setelah matang dan dijual aset pelaburan tersebut dalam pelan rasionalisasi 1MDB, semua hutang atau faedah sudah dijelaskan. Malah 1MDB mula mencatat keuntungan. Tidak rugi seperti yang ditohmah Mahathir.

Mahathir: c) Wang yang dipinjam ini sudah hilang sehingga tidak boleh dikesan dengan sah di mana wang ini berada.

Jawapan: Tuduhan yang tidak berasas. 1MDB telah diaudit oleh firma bebas dan disiasat oleh tidak kurang dari 3 agensi bebas kerajaan termasuk Jabatan Audit Negara, PAC dan PDRM. Setiap aliran wang keluar masuk, termasuk aset, liabiliti dan sebagainya terkandung dalam dokumen-dokumen 1MDB. Hasil siasatan, tiada satu sen pun wang yang dipinjam tidak dapat dikesan secara sah. Tuduhan Mahathir jelas tidak benar.

Mahathir: d) Tiba-tiba wang sebanyak RM 2.6 billion berada dalam akaun persendirian Najib di Ambank.

Jawapan: Sarawak Report yang kemudian dipetik WSJ mendakwa wang RM2.6 bilion itu adalah wang dari 1MDB. Najib menolak dakwaan beliau terima wang RM2.6 bilion dari 1MDB. Namun beliau sendiri mengaku terima wang berkenaan di akaun persendirian dan dijelaskan bahawa ia merupakan dana sumbangan politik kepadanya yang diterima dari Keluarga DiRaja Arab Saudi.

SPRM telah mengesahkan sumber dana tersebut dan Kerajaan Arab Saudi juga telah mengaku menyumbang dana itu kepada Najib. Sumbangan dana politik secara peribadi adalah dibenarkan dari sudut perundangan negara. Parti politik dan ahli politik lain juga terima sumbangan politik. Bezanya hanya jumlah sumbangan. Mahathir cemburu Najib terima sumbangan besar dari Arab Saudi sedangkan dia dulu tidak terima sumbangan sebanyak itu?

Mahathir: e) Agensi-agensi kerajaan Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Hong Kong, Luxembourg, United Kingdom, Seychelles dan Emiriah Arab Bersatu sedang menyiasat salahlaku dan rasuah yang melibatkan 1MDB.

Jawapan: Tiada sumber yang sahih dan rasmi yang mengesahkan dakwaan Mahathir. Najib melawat Amerika Syarikat dan beberapa negara yang disebut, namun beliau tidak ditahan oleh pihak berkuasa di sana langsung, walaupun untuk tujuan siasatan. Lazimnya jika seseorang melakukan kesalahan dan disiasat tidak kira siapa, akan ditahan dan disiasat setibanya mereka di negara berkenaan. Mahathir tersasar lagi.

Mahathir: f) Switzerland mendakwa berlaku korupsi sebanyak AS$7 billion dalam pengurusan 1MDB.

Jawapan: Tuduhan Mahathir tidak tepat. Jika benar pun ada berlaku korupsi dalam pengurusan 1MDB, sudah tentu pihak pengurusan syarikat itu sudah didakwa dan kesalahan itu mudah dikesan ketika Jabatan Audit Negara melakukan ‘audit forensik’. Sehingga sekarang, tiada sebarang tangkapan terhadap pengurusan 1MDB. Pihak berkuasa Switzerland pun tiada mengeluarkan kenyataan rasmi tentang pengesahan wujudnya korupsi.

Mahathir: g) Singapura menangkap seorang pegawai bank yang terlibat dengan salahlaku 1MDB.

Jawapan: Mahathir tidak jelaskan penangkapan pegawai bank itu adalah untuk siasatan atau pendakwaan di mahkamah. Jika pegawai bank itu bersalah sekalipun, ia mungkin salahlaku yang melibatkan peringkat pengurusan di sana dan ia tiada kaitan dengan pihak 1MDB.

Sebagai contoh, Pegawai Mara pun ditahan dan disiasat di Australia atas dakwaan salahlaku tentang aset Mara. Tapi apakah wajar Pengerusi Mara di Malaysia dituduh sebagai bersalah? Jika Mukhriz ‘mencuri’ balak di Kedah, apakah wajar Mahathir di Putrajaya dipenjara atas kesalahan itu?

Mahathir: h) Malaysia dipandang hina dan menteri kewangannya didakwa sebagai menteri kewangan yang terburuk di Asia.

Jawapan: Tuduhan dan pengiktirafan yang sama, malah lebih buruk pernah Mahathir terima ketika Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi pada sekitar tahun 1985 – 1989 dan 1997 – 2000 dulu. Apakah Mahathir sudah lupa bagaimana beliau dihentam dulu?

Mahathir: i) Laporan oleh PAC mencatit akan penipuan besar berlaku dalam 1MDB. Ini diakui oleh CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Jawapan: Tuduhan tidak tepat lagi dari Mahathir. Beliau putar belit kenyataan Arul dan mereka yang fasih bahasa Inggeris untuk perniagaan boleh rujuk kenyataan asal CEO 1MDB itu. Kemudian mereka boleh ketawakan Mahathir dengan perangainya yang cuba memperbodohkan rakyat Malaysia yang lemah berfikir dan tidak mahir berbahasa Inggeris.

Mahathir: j) Mesyuarat agong Umno tidak dibenar bincang 1MDB dan RM 2.6 billion yang ada dalam akaun bank Najib.

Jawapan: Mahathir dulu lebih teruk ketika menjadi Presiden UMNO. Sebut saja tentang sesuatu yang melibatkan keburukan dirinya, membantah setiap keputusannya, maka individu itu akan ditekan habis-habisan. Ada yang dipecat, meletak jawatan dan masih benci pada Mahathir sehingga kini atas corak politik ala ‘diktator’nya. Mahathir sendiri akui dirinya seorang ‘diktator’.

Mahathir: k) Jika ahli atau pemimpin Umno menyoal berkenaan 1MDB, mereka dipecat. Ahli Umno hanya dibenar sokong apa sahaja yang Najib lakukan. Tidak seperti dahulu tiada siapa boleh menegur atau mencabar Najib sebagai Presiden. Umno tidak ada suara lagi.

Jawapan: Mahathir menipu lagi. Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato’ Seri Mukhriz dan Dato’ Seri Shafie Apdal sudah bertahun menyoal berkenaan 1MDB. Mereka tidak dipecat pun! Sedangkan Mahathir dulu, bukan saja memecat dan ‘mencantas’ sesiapa yang membantahnya dalam UMNO, malah di luar parti seperti Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pun dipecat!

Yang Berhormat-Yang Berhormat,

Mahathir: Umno ialah parti keramat yang mengalahkan Malayan Union British, yang memerdekakan Malaya dan Malaysia, yang berjaya membangunkan negara sehingga hampir menjadi negara maju.

Jawapan: Benar UMNO yang mengalahkan Malayan Union, memerdekakan Malaya dan Malaysia, serta memajukan negara. Tapi Mahathir sendiri menghina Tunku Abdul Rahman yang bertanggungjawab memerdekakan negara menerusi surat terbuka dan buku-buku maki hamunnya terhadap Perdana Menteri pertama itu. Itu cara Mahathir kenang jasa UMNO?

Mahathir: Tetapi hari ini nama Umno sudah menjadi begitu buruk, sudah digelak ketawa, dihina dan ditolak oleh sebilangan yang besar orang Melayu dan bukan Melayu di dalam negara.

Jawapan: Yang memburukkan nama UMNO di mata rakyat adalah Mahathir, anaknya Mukhriz dan ‘Team B’ menerusi siri-siri pembohongan jijik. Kerana itulah UMNO dihina, ditertawa. UMNO tidak ditertawa dan dihina atas sebab salah laku, tapi kerana diperlekeh Mahathir sendiri.

Mahathir: Semua ini disebabkan oleh Najib dengan kepercayaannya bahawa “Cash is King” iaitu rasuah adalah cara memerintah.

Jawapan: Ungkapan ‘Cash is King’ itu disalah tafsir Mahathir sendiri atas sifat benci dan dendam terhadap Najib. Jika diteliti dari sudut amalan, konsep itu bermula dan subur di zaman Mahathir menjadi Presiden UMNO hingga sukar dibersihkan hingga kini. Boleh tanya orang lama UMNO tentang ‘politik wang’ di zaman Mahathir dan Anwar dulu.

Mahathir: Wahai Yang Berhormat, wakil-wakil rakyat Umno. Tidakkah kamu sayang parti keramat ini yang telah begitu berbakti dan berjasa kepada bangsa, negara dan agama? Dan kepada kamu dan keluarga kamu.

Jawapan: Kami sayang pada UMNO, maka sebab itu kami tidak keluar parti dan khianat pada perjuangan parti keramat ini. Kami bukan seperti Mahathir yang berjuang demi kepentingan anak dan kroni-kroni tertentu yang sudah kaya raya dan mahu dikayakan lagi.

Mahathir: Tidaklah kamu tergerak hati untuk membelakangkan kepentingan diri demi bangsa dan negara?

Jawapan: Kerana tergerak hati untuk kepentingan agama, bangsa dan negaralah maka kami semua bangkit menentang strategi busuk Mahathir yang menjejaskan perjuangan anak bangsa ini. Kami tidak akan bersekongkol dengan DAP, PKR dan PAN yang menjadi musuh tradisi. Kami bukan ‘Si Kitul’ seperti Mahathir, Mukhriz, Muhyiddin atau Shafie Apdal.

Mahathir: Segala yang merosakkan Umno dilakukan oleh Datuk Seri Najib.

Jawapan: UMNO telah dirosakkan di dalam dan di luarnya oleh Mahathir sendiri selama 22 tahun dengan corak pemerintahan autokratik ala diktator. Najib hanya cuba membersihkan ‘kekotoran’ itu bagi menjayakan agenda agama, bangsa dan negara.

Mahathir: Selagi ia menjadi perdana menteri pemulihan negara tercinta ini tidak akan dapat dilakukan.

Jawapan: Mahathir sendiri mengaku gagal merubah nasib anak bangsa walaupun sudah diberi peluang memerintah selama 22 tahun. Kejayaan itu tidak akan datang bergolek selagi ada pengkhianat yang mengganggu dan memperlekeh kejayaan yang dicapai. Banyak yang sudah dicapai Najib, cuma Mahathir saja yang ‘butakan mata’.

Mahathir: Hanya dengan penyingkiran Najib sahaja baharulah Perlembagaan dan Undang-Undang Negara dikuatkuasakan semula dan Malaysia kembali sebagai negara berdaulat yang dihormati dunia.

Jawapan: Najib hanya tukar Peguam Negara, tapi tidak pecat Ketua Hakim Negara seperti Mahathir. Jadi, fikirkan sendiri siapa yang lebih teruk dalam penguatkuasaan demokrasi Perlembagaan dan Undang-Undang Negara.

Yang Berhormat-Yang Berhormat,

Mahathir: Rakyat memilih Yang Berhormat kerana mereka percaya Yang Berhormat akan menyuarakan dan mempertahankan hak mereka. Sekarang berjuta-juta rakyat menolak Najib. Percayalah Umno dan BN akan kalah dalam PRU-14.

Jawapan: Deklarasi Mahathir Kit Siang yang sejuta lebih itu pun amat diragui kredibilitinya. Bagaimana Mahathir mahu nafikan kemenangan BN yang dicapai Najib, terutama peningkatan berjuta-juta undi dan kemenangan UMNO dalam PRU ke-13 dulu? BN kalah pada PRU ke-14? Mahathir sudah banyak kali salah ramal. Ramalannya tentang Anwar pun salah!

Mahathir: Rakyat dan anak cucu akan kutuk YB kerana menghancurkan Umno dan membawa malapetaka kepada negara. Tak mungkin apa-apa pemulihan dibuat dari dalam Umno.

Jawapan: Rakyat tidak kutuk YB. Yang kutuk hanyalah Mahathir dan ‘pemakan bangkai’nya sahaja. Bagaimana hendak pulih jika ada ‘api dalam sekam’ yang khianat dari dalam parti? Jangan salahkan UMNO jika ‘pengkhianat-pengkhianat’ itu dipecat nanti.

Mahathir: Umno sekarang bukan lagi Umno yang ditubuh dahulu. Yang ada hanyalah parti Najib.

Jawapan: Kenyataan sebenar adalah UMNO kini bukan lagi parti hak milik diktator bernama Mahathir. Ia dikemudi Najib dan dibantu secara konsensus bersama Ahli Majlis Tertinggi.

Mahathir: Dan ahli serta pemimpin Umno yang menyokong parti Najib ini mengkhianati Umno, bangsa, negara dan agama.

Jawapan: Jadi, apakah ‘pemimpin yang menyokong Mahathir dulu wajar dilabel sebagai mengkhianati UMNO, bangsa, negara dan agama’ oleh Tengku Razaleigh Hamzah, Musa Hitam, Shahrir Samad dan mereka yang pernah dizalimi dulu? Kami pertahankan institusi Presiden yang menjadi tonggak parti. Kami bukan ‘pemakan dedak’ seperti penyokong taksub Mahathir!

Mahathir: Oleh itu sertailah mereka yang menolak Najib sebagai Perdana Menteri supaya Umno dapat dipulih dan dihormati semula dan maruah bangsa dan negara tertebus.

Jawapan: Mahathir perlu sedar bahawa majoriti ahli dan penyokong UMNO memberi sepenuh sokongan kepada Najib dan kepimpinannya sekarang. Kami juga menolak ‘rejim’ Mahathir yang seolah-olah gila kuasa mahu terus mencatur politik negara walau sudah bersara.

Mahathir: Dan banyaklah lagi kesalahan dan salahguna kuasa yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib.

Jawapan: Jika disenarai segala kesalahan dan salahguna kuasa Mahathir sejak 1981 hingga 2002 selama 22 tahun, rasanya terpaksa berjilid-jilid dibukukan dan mengambil masa lebih setahun untuk habis khatam dibaca! – AmirHamzah/Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *