Calon BN Berkempen Melalui Studio Mini Di Rumah

Z

Kontroversi dan pertikaian mengenai isu calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid menampakkan sedikit jalan.
Iyela, calon BN tu kan masih dalam tempoh iddah akibat kematian suaminya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang juga ahli Parlimen kawasan Kuala Kangsar yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, Biro Penerangan UMNO akan mewujudkan studio mini bagi membantu calon BN tersebut untuk berkempen dari rumah pada PRK di Kuala Kangsar.
Menurut Annuar, pihak mereka juga akan terus melipat gandakan usaha untuk membantu calon BN tersebut berkempen dengan menggunakan kaedah membantu Mastura untuk berkempen melalui kenderaan yang dilengkapi skrin LED.
“Untuk Datin Mastura saya akan wujudkan mini studio di rumahnya dan kita akan menggunakan kenderaan bergerak yang dilengkapi LED. Mobil LED ini akan bergerak dari satu tempat ke tempat lain,” katanya.
Bukan setakat rakaman je… Malah Mastura juga diberi kelebihan untuk memilih mana-mana sahaja tempat yang dikehendakinya di sekitar Parlimen Kuala Kangsar untuk berkempen dan pihaknya juga akan mewujudkan sesi siaran langsung (live) bersama Mastura.
“Di mana-mana ada majlis dan kehadiran yang ramai, beliau boleh berhubung secara langsung. Program yang kita aturkan secara live streaming dan rakaman.
“Ini bermakna suara Datin Mastura akan berada dalam segenap pelosok Parlimen Kuala Kangsar,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  pernah berkata bahawa ini merupakan julung kalinya calon BN terpaksa berkempen tanpa keluar rumah. Jadi BN harus menggunakan strategi berkempen tanpa calon.
Tindakan tersebut digunakan selepas mengambil kira fatwa mengikut hukum qat’ie dalam Islam berkaitan tempoh iddah seseorang wanita yang kematian suami. – TiraGomez/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *