RUU Syariah: Inilah Beza Antara Najib Dan Mahathir


Bila diluluskan saja usul Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta 355 berkaitan kuasa Mahkamah Syariah yang dibentang Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, ramai yang ‘meroyan’ tidak tentu hala, terutama parti politik seperti DAP, MCA dan Gerakan.
Jika dilihat pada pola kaum di dalam parti politik yang bising tentang RUU tersebut, majoriti ahlinya adalah berbangsa Cina. Yang peliknya, parti yang majoriti mewakili kaum India tidak kecoh pun seperti mereka. Itu beza antara kaum Cina dan India di Malaysia?
Kenapa agaknya kaum Cina ini membantah dan tidak suka pada RUU yang dibentang Abdul Hadi itu? Kerana ia berkaitan soal usaha melaksanakan hukum Hudud di Mahkamah Syariah Negeri Kelantan, dan kemudian mungkin dilaksanakan di negeri-negeri lain di seluruh negara?
Apa pula kaitan masyarakat Cina dengan Mahkamah Syariah? Pernahkah mereka didakwa atau dibicara di mana-mana Mahkamah Syariah di negara kita? Tidak pernah, bukan? Kerana hanya umat Islam sahaja yang tertakluk di bawah kuasa Mahkamah Syariah, bukan?
Apakah Cina-Cina ini beragama Islam? Datuk Dr Ridhuan Tee mungkin benar beliau merupakan orang Cina yang beragama Islam. Namun beliau sokong pembentangan RUU yang bakal membuka jalan pada perlaksanaan hudud tersebut di Mahkamah Syariah. Apa masalahnya?
Pada pandangan penulis, sebelum ini beberapa pihak telah bertindak menakut-nakutkan rakyat di negara ini berkenaan hukum hudud. Maaflah jika penulis tegaskan bahawa UMNO dulu pun pernah mengambil pendekatan yang sama.
Hudud sudah beberapa kali diusul kepada Kerajaan Pusat dulu ketika Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Dia menolak usul hudud yang dibentang PAS dulu atas alasan, ia ‘tidak adil’. Dia menolaknya mentah-mentah, tanpa sebarang justifikasi membina.
Malah pada suatu ketika, Mahathir memperlekeh usaha PAS itu dengan mendakwa ia merupakan ‘hudud PAS’ dan bukannya ‘hudud Allah’. Ada tikanya pula, konco-konconya pertikai pula hukuman rejam dan sebat yang dikatakan ‘kejam’ dan ‘zalim’ untuk dilaksanakan.
Pada pandangan penulis, pendekatan Mahathir itu amat memalukan bagi seorang yang mengaku beragama Islam. Mungkin benar draf hudud yang dibentang PAS itu tidak sempurna dan perlu ditolak. Namun Mahathir langsung tidak menyediakan sebarang platform kepada PAS untuk mengkaji bersama draf berkenaan, demi kepentingan tertegaknya undang-undang Islam di Malaysia.
Di negara kita, memang terdapat beberapa hukuman bagi kes jenayah di Mahkamah Syariah yang dikhaskan untuk umat Islam. Di dalamnya terdapat undang-undang berkenaan takzir, diyat, qisas dan sebahagian hudud yang masih tidak lengkap serta tidak menepati maqasidnya.
Enakmen seperti itulah yang perlu dipinda bagi mendatangkan rasa patuh, takut dan hormat pada ketetapan hukum Allah supaya tidak melakukan perkara dosa di kalangan umat Islam di Malaysia.
Sebagai contoh, kerana hukuman khalwat yang terlalu ringan, maka umat Islam di negara ini ramai yang berani berkhalwat khususnya di kalangan remaja Islam sehingga ada yang melahirkan anak luar nikah. Seterusnya, penyakit seperti inilah yang menjejaskan lagi akhlak umat Islam ke arah maksiat dan pembuangan bayi yang tidak berkesudahan.
Mujurlah Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak mempunyai pendekatan yang tidak sama seperti Mahathir. Benar beliau menolak ‘hudud PAS’, namun dijemputnya ulama-ulama PAS itu untuk duduk semeja dengan ulama muktabar negara untuk mengkaji, merangka dan membincangkan draf pindaan syariah yang lebih menyeluruh.
Pada pandangan penulis, di zaman Mahathirlah segala puncanya. Hudud di zaman beliau telah sengaja disalah tafsirkan mengikut nafsu politik sehingga dipandang serong oleh masyarakat Cina. Ditambah ‘perisa’ pula oleh DAP yang mempengaruhi masyarakat Cina, padanlah MCA dan Gerakan pun terikut-ikut dengan mereka.
Hukum Syariah bukan soal politik, ia adalah soal Islam dan hukum Allah. Ia menjangkaui pemikiran jumud Mahathir yang mahu berpolitik 24 jam seumur hidupnya. Entah siapalah yang ‘punahsihat Mahathir’ ketika itu, mungkinkah ‘Sister In Islam’ yang dikendalikan anaknya? – Amir Hamzah/Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *