Ahli Ekonomi ramal ekonomi negara semakin baik tahun ini.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka meningkat kepada 4.5% pada tahun ini berbanding anggaran 4.2% pada 2016, menurut RAM Rating Services Bhd.

Ahli ekonomi Kristina Fong berkata, ekonomi Malaysia melalui banyak risiko penurunan dan cabaran pada beberapa tahun yang lepas.

Beliau berkata, RAM melihat prospek penstabilan pada petunjuk makro pada tahun ini.

“Misalnya, pada beberapa tahun yang lalu, kami melihat penggunaan swasta rendah dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan tetapi berkurangan selepas itu.

“Pada tahun ini, kami menjangka keadaan buruh dan pertumbuhan gaji yang lebih baik serta permintaan domestik yang pulih, menyokong prospek pertumbuhan pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas taklimat media mengenai Indeks Keyakinan Perniagaan Malaysia Pertama RAM di Ibu negara.

Fong berkata, terdapat peningkatan pada permintaan luaran dengan petunjuk perdagangan menunjuk ke arah penstabilan pada tahun ini.

Beliau berkata, dengan permintaan domestik yang kukuh, ia menyumbang kepada unjuran KDNK yang lebih baik pada tahun ini.

Fong turut menjangka sektor elektrik dan elektronik akan mengukuhkan eksport Malaysia pada 2017 dan terus kompetitif berbanding rakan serantau yang lain.

Sementara itu, katanya ringgit dijangka terus turun naik dengan tekanan penurunan pada separuh pertama 2017.

Ia dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini, katanya.

“Ringgit masih tidak menentu pada masa ini berikutan pelabur dalam pasaran masih mengambil kira jangkaan mereka, terutamanya dengan kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat atau referendum ‘British Exit’,” kata Fong.

Julat purata RAM bagi ringgit pada tahun ini berlegar antara 4 dan 4.50 berbanding dolar AS, katanya, sambil menambah bahawa julat purata yang besar menunjukkan ketidaktentuan luaran yang dijangka RAM pada tahun ini.

“Dengan ketidaktentuan yang meningkat, ia boleh berlegar melebihi 4.5 pada satu ketika tetapi jika kami melihat dari segi purata, ia dijangka dalam julat tersebut,” katanya.

Mengenai langkah Bank Negara Malaysia untuk membendung ringgit daripada terus jatuh, Fong berkata, ia pasti akan membantu untuk menstabilkan ringgit tetapi kesan daripada langkah tersebut belum direalisasikan.

Bagi dasar monetari pada tahun ini, RAM percaya ia optimum jika Kadar Dasar Semalaman kekal pada kadar semasa 3%.

Inflasi turut dijangka naik sedikit susulan harga minyak yang meningkat dan ketidaktentuan kadar pertukaran, kata Fong. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *