Bekas Pemimpin DAP Persoalkan Perlantikan Saifuddin



08/01/2017 – Bekas ahli DAP, Shamsher Singh Thind mempersoalkan keperluan dan kewajaran pelantikan Datuk Saifuddin Nasution sebagai Penasihat Strategik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng baru-baru ini.

Shamser membangkitkan dua persoalan berhubung pelantikan itu, iaitu sama ada ia kerana strategi politik tertentu atau ia bertujuan membawa manfaat untuk rakyat Pulau Pinang secara keseluruhannya.

“Jawatan yang perlu angkat sumpah, seolah-olah jawatan yang akan dibayar (gaji) oleh kerajaan negeri. Soalan saya, adakah jawatan ini dibayar oleh kerajaan negeri?

“Pelantikan ini berdasarkan ‘political reason’. Andainya beliau dibayar oleh kerajaan negeri, maka soalan kedua saya adalah, mengapa kerajaan negeri hendak bayar Saifuddin atas ‘political reason’?

“Kerajaan negeri sepatutnya bayar untuk hal-hal yang membawa faedah kepada rakyat Pulau Pinang. Jika untuk ‘political reason’, ia memang tak betul,” katanya kepada media.

Ujar Shamsher, pelantikan Setiausaha Agung PKR itu dilihat ‘janggal’ memandangkan Guan Eng boleh sahaja mendapat khidmat nasihat dalam pelbagai hal daripada barisan exco, pengurusan kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyatnya.

Shamser merupakan bekas perwakilan DAP dari Taman Chai Leng yang keluar parti pada awal Disember tahun lalu kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan DAP, terutama Penasihatnya Lim Kit Siang.

Shamser mendakwa kredibiliti Kit Siang tercalar apabila menjalin hubungan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menerajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Mengulas lanjut pelantikan Saifuddin itu, Shamser percaya ia juga sebagai ‘usaha berbaik-baik’ antara DAP-PKR selepas beberapa insiden dalaman yang memberi kesan terhadap hubungan politik pembangkang.

Beliau merujuk kepada ketegangan yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Mei tahun lalu dan keengganan PKR untuk mempersetujui rancangan DAP Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya mengejut ekoran kes rasuah Guan Eng.

“PKR dan DAP dari dahulu nampak baik. Namun apa yang terjadi di PRN Sarawak, hubungan mereka teruk. Apabila mereka hendak bertanding sesama sendiri di Sarawak, Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik daripada DAP katakan ‘go to hell, PKR’.

“Inilah realiti hubungan PKR dan DAP. Tidak tahu mereka berdua bersatu atau tidak. Ketika Guan Eng didakwa di mahkamah dan beliau mahu buat pilihan raya mengejut, PKR nampak tidak bersetuju. Nampak PKR dan DAP di Pulau Pinang semakin goyah.

“Apabila dua ADUN PKR menentang projek penambakan laut di negeri ini, dua wakil rakyat berkenaan telah hilang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya merujuk kepada pemecatan dua ADUN PKR Pulau Pinang, Ong Chin Wen dan Cheah Kah Peng sebagai Pengarah Penang Invest and Island Golf Properties Sdn Bhd dan Pengarah Perbadanan Bukit Bendera.

Shamsher juga beranggapan pelantikan Saifuddin juga sebagai satu lagi usaha membersihkan imej Guan Eng yang sebelum ini dilihat anti-Melayu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *