DS Ismail Sabri Cabar Tun Mahathir Buat Laporan SPRM Mengenai BRIM



3/1/2017 – Berhubung dengan dakwaan pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM) sebagai rasuah, Tun Dr Mahathir Mohamad dicabar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan adanya laporan berkenaan pihak SPRM boleh membuka kerta siasatan dan menangkap semua penerima BRIM berkenaan.

Ini kerana dalam kes rasuah bukan pemberi sahaja akan menerima hukuman, malah penerima BRIM turut akan menerima nasib yang sama.

“Kita tidak boleh katakan bantuan daripada kerajaan ini sebagai rasuah, umpamanya Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) KEMAS di bawah seliaan kementerian saya.

Sekiranya tiada bantuan kerajaan ini, ibu bapa perlu membayar sekurang-kurangnya RM200 untuk yuran. Takkan bantuan sebegini pun dikatakan sebagai rasuah.

“Selain BR1M dan yuran tabika, Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) turut memberi wang tunai kepada orang kurang upaya (OKU), warga emas dan golongan sasar bagi membantu mereka. 

“Adakah semua ini juga dikira sebagai rasuah?,” katanya kepada media selepas membuat lawatan ke Tabika Kemas Sri Siantan di sini hari ini, bagi memantau sesi persekolahan awal tahun 2017.