Guan eng halang 1MDB buat rumah rakyat di Pulau Pinang selagi DAP masih berkuasa.

Pulau Pinang – Semua urus niaga tanah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Pulau Pinang masih dibekukan, kata Lim Guan Eng sambil menambah selagi Pakatan Harapan kekal berkuasa, ia tidak akan berubah.

Ketua menteri berkata pembekuan itu perlu bagi mendapatkan jawapan terhadap skandal melibatkan Putrajaya dan firma pelaburan negara, 1MDB.
“1MDB perlu memberikan penjelasan penuh terhadap skandal tersebut. Selagi ia tidak dibersihkan, semua urus niaga melibatkan tanah di Pulau Pinang masih beku,” katanya kepada pemberita di Komtar hari ini.

The New Straits Times melaporkan 1MDB dalam proses penyelesaian di mana asetnya akan dipindahkan kepada 2 syarikat dimiliki Kementerian Kewangan beberapa bulan akan datang. Aset 1MDB termasuk sekeping seluas 94.7 hektar di Air Hitam, Pulau Pinang dan beberapa bidang lain di Kuala Lumpur.

Dilaporkan 1MDB membeli tanah di Pulau Pinang tahun lalu pada harga RM1.38 bilion bagi projek perumahan yang diumumkan menjelang pilihan raya umum 2013.

Kerajaan Pulau Pinang pertama kali mengumumkan akan membekukan semua transaksi tanah melibatkan 1MDB pada 2015 apabila hutang syarikat itu didedahkan.

Pada Julai 2015, Lim berkata di bawah Seksyen 320 Kanun Tanah Negara, kaveat Pendaftar boleh dikemukakan kepada mana-mana tanah jika perlu.
Kerajaan Pulau Pinang mempersoalkan pemilikan tanah 1MDB di Air Itam, berikutan laporan carian tanah pada Mei 2015 mendedahkan 1MDB hanya memiliki 85.7% daripada tanah manakala selebihnya masih milik minoriti.

Lim hari ini mengulangi kerajaan tidak akan meluluskan mana-mana transaksi tanah sehingga 1MDB “dibersihkan daripada segala skandal”.

“Setakat ini, mereka tidak memfailkan sebarang permohonan. Sebagai organisasi kerajaan, mereka bertanggungjawab menjelaskan pembelian tanah itu.

“Syarikat perlu memberi jawapan kerana ia menjejaskan Malaysia dengan teruk,” katanya sambil menambah skandal itu juga menjejaskan nilai ringgit.
Lim juga menggesa Putrajaya membatalkan pasport Low Taek Jho untuk memaksa beliau pulang ke tanah air dan menerangkan kontroversi 1MDB.