Himpunan 355 – PAS Minta MCA Jangan Melatah

10/1/2017 – Berhubung dengan penganjuran Himpunan 355 (H355) untuk memperjuangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah (bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali Akta 355 yang dijangka berlangsung di Dataran Merdeka pada 18 Februari ini, PAS mengingatkan MCA agar tidak melatah dengan penganjuran himpunan tersebut.

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan berkata, himpunan anjuran PAS itu boleh memecah-belahkan rakyat.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, MCA atau sesiapa saja tidak perlu melatah kerana perhimpunan itu dikatakan bakal berlangsung secara tertib, aman, harmoni dan mematuhi undang-undang negara.

Tambah beliau lagi, perhimpunan itu dikatakan tidak akan membabitkan perarakan di jalan raya, tiada gerakan antikeamanan dan tidak mengancam kestabilan negara. Sebaliknya dikatakan diisi dengan ceramah agama yang akan dipimpin pendakwah terkenal, Azhar Idrus.

Difahamkan, himpunan anjuran Sekretariat H355 itu menggabungkan ratusan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, parti politik, individu, aktivis masyarakat dan turut mendapat sokongan dalam kalangan bukan Islam.

Nasruddin berkata, H355 adalah satu himpunan aman dan bertujuan untuk menghormonikan ummah dalam memperjuangkan isu pindaan Akta 355, selain mendidik masyarakat agar menyokong pindaan akta berkenaan.

Dalam pada itu, beliau mengatakan pihaknya sudah menghantar surat permohonan kepada pihak berwajib seperti polis dan Dewan Bandaraya Kuala untuk mengadakan perhimpunan itu.

“Insya-Allah.., dalam masa terdekat ini kami akan turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz dan PDRM untuk membincangkan perhimpunan itu.

“Kami yakin pihak kerajaan akan mempertimbangkan permohonan kami dengan baik, Insya-Allah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *