Jemaah Haji tajaan Kerajaan kecewa dan marah pada Mahathir

ALOR SETAR – Kecewa, marah dan terguris. Tiga perkataan itu cukup untuk menggambarkan betapa terusiknya perasaan mereka yang berpeluang menunaikan haji melalui tajaan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) ekoran kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya ibadah mereka itu tidak mabrur.

Begitu pun rata-rata mereka menganggap Dr. Mahathir sudah tidak perlu dilayan kerana matlamatnya dalam mengeluarkan kenyataan ketika ini kebanyakannya hanyalah bermotifkan politik semata-mata.

Bagi bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Hamzah Adnan, 67, kenyataan Dr. Mahathir itu terlalu jauh menyim­pang kerana beliau dilihat cuba membuat penilaian sendiri terhadap perkara yang menjadi hak Allah.

“Saya fikir beliau perlu lebih berhati-hati membuat kenyataan. Seruan menunaikan haji ini adalah satu anugerah Allah kepada hamba-Nya yang terpilih.
“Saya sendiri contohnya bukan orang senang. Namun pada tahun 2014, ketika baru sahaja berkira-kira mahu mendaftar menunaikan haji bersama isteri, tiba-tiba, Allah pilih untuk ke sana atas tajaan 1MDB, maka adakah wajar untuk orang mempertikaikan hak Allah dalam menjemput saya ke sana dengan jalan begitu?” katanya kepada wartawan Utusan.

Tambah Hamzah, selaku bekas Perdana Menteri dan orang ber­usia, kenyataan dikeluarkan Dr. Mahathir itu adalah sesuatu yang amat tidak boleh diterima.
“Dahulu kita hormati panda­ngan dan visinya yang jauh. Tetapi hari ini selaku orang yang sentiasa mengikuti isu politik semasa, saya kecewa dengan kenyataan demi kenyataan dikeluarkan oleh beliau,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima tajaan 1MDB ke Mekah, Jamil Ismail, 60, mengakui kata-kata bekas Perdana Menteri tersebut benar-benar mengguris perasaannya.

“Siapa kita manusia biasa ini hendak menilai mabrur atau tidak sesuatu amalan dilakukan? Apabila ada individu yang buat kenyataan begini, maka secara tidak langsung umum akan mempertikaikan pula tahap keimanannya kepada Allah.

“Kalau kita yakin dengan ketentuan dan kebijaksanaan Allah, bagaimana boleh kita pertikaikan seruan Allah kepada insan-insan terpilih yang menunaikan haji. Bagaimanapun bagi saya, usahlah kita bebankan hati dengan memikirkan perkara yang tidak sepatutnya kita fikir seperti melayan kenyataan sebegini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang jemaah haji yang ditaja 1MDB tahun lalu, Abdul Rahim Zakaria, 65, menasihatkan Dr. Mahathir agar beristighfar dan menilai semula kata-katanya kerana dianggap telah membuatkan ramai jemaah haji berkecil hati.

“Ketentuan Allah ini kita kena terima. Kalau Tuhan hendak angkat parti baharunya itu untuk memerintah Malaysia, Tuhan akan beri juga tetapi tidak perlulah sampai tergamak mengeluarkan ke­nyataan-kenyataan sebegini.

“Kalau beliau hendak berpolitik, teruskanlah berpolitik tetapi jangan babitkan orang ramai dan rakyat yang membuat ibadat. Tak seronok rasanya. Bukan hendak menentang tetapi tidak kena de­ngan cara orang tua-tua seperti­nya, tidak bolehlah cakap begitu,” kata Abdul Rahim.