Kanak-Kanak Lima Tahun Patah Tangan Didera Bapa Tiri

17/01/2017 Kuala Terengganu – Apa dosaku? Itulah mungkin pertanyaan yang ingin diluahkan oleh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, mengalami patah lengan kiri dipercayai telah dicampak bapa tirinya dalam kejadian di Kampung Wakaf Mempelam, di sini, Jumaat lalu.

Kanak-kanak malang itu telah dibawa oleh ibunya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapat rawatan susulan kerana sering mengadu sakit bahu kiri.

Bagaimanapun, seorang pegawai perubatan yang memeriksa kanak-kanak itu mendapati tulang lengan kiri kanak-kanak itu telah patah seperti didera.

Ibu mangsa berusia 30-an itu telah di soal siasat oleh pegawai perubatan bertugas dan memaklumkan suaminya melempar mangsa ke katil.

“Hasil soal siasat daripada pegawai perubatan bertugas, ibu mangsa memaklumkan suaminya sebelum itu ada melempar mangsa ke katil dalam keadaan marah sehingga menyebabkan bahu kiri anaknya bengkak.

“Pegawai perubatan yang mengesyaki mangsa didera kemudian membuat laporan polis untuk tindakan susulan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata telah menerima laporan berkaitan kejadian itu.

Beliau berkata, suspek yang berusia 32 tahun itu sudah berjaya ditahan dan kini sedang menjalani siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. –UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *