Kanak-kanak perempuan maut digilis bapa saudara di Perlis

12/01/2017 Kangar – “Malang tidak berbau’ itulah perkara yang telah menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun apabila maut digilir lori secara tidak sengaja yang dipandu oleh bapa saudaranya.

Kejadian itu berlaku apabila bapa saudaranya sedang mengalihkan kenderaan itu di kawasan halaman sebuah rumah di Kampung Padang Gelam, Sanglang, di sini.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, bapa saudaranya itu tidak menyedari mangsa, Nurul Batrisya Nasrul Hadi berada di belakang lori terbabit. Mangsa telah berlari keluar dari rumah untuk melihat jentera menuai padi apabila mendengar bunyi mesin itu.

Ibu mangsa, Shakirah Bakar, 33 berkata tidak mengetahui kejadian itu sehinggalah abangnya berlari masuk ke dalam rumah memberitahu anaknya telah dijumpai terbaring di belakang tayar belakang lori terbabit.

Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), namun kanak-kanak itu gagal untuk diselamatkan dan telah disahkan meninggal dunia.

Kejadian ini bukan kes yang pertama menimpa kanak-kanak kecil. Sudah banyak kes yang dilaporkan menimpa kanak-kanak digilir kereta yang sedang mengundur.

Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Wari Kiew mengesahkan menerima laporan tentang kejadian ini. Kes telah disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *