Khalid Samad Tak Layak Jadi Ahli Parlimen Selepas Kena Denda RM 2900

19/1/2017– Mahkamah Rendah Syariah Klang hari ini telah memutuskan Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad bersalah kerana mengajar tanpa tauliah di sebuah surau di Klang pada 2011.

Dalam penghakiman tersebut Hakim Syarie, Mohd Hairuddin Ab Rahim menjatuhkan hukuman denda RM2,900 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Khalid sebelum ini didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Klang atas kesalahan mengajar tanpa tauliah di Surau Taman Semanta, Klang, pada 16 Ogos 2011, mengikut Seksyen 119 (1), Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Selangor.

Mahkamah Syariah memerintahkan Khalid membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie.

Mohd Hairuddin berkata, mahkamah telah berpuas hati dengan segala hujah yang diberi dan telah mempertimbangkan alasan kedua-dua pihak. Mahkamah memutuskan hukuman RM2900 atau denda tiga bulan jika gagal membayar denda terbabit.

Sementara itu, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, beliau akan membayar denda itu serta merayu terhadap hukuman tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, Jumaat ini.

“Pada hari ini kita akan membayar dulu denda RM2,900, selepas itu kita akan buat rayuan ke atas keputusan yang telah dibuat,” katanya.

Selain itu, Khalid turut ditanyakan mengenai keputusan itu mungkin akan menyebabkan beliau hilang kelayakan bertanding pilihan raya.

Beliau berkata keputusan tersebut bergantung kepada rayuannya nanti.

“Mungkin (hilang kelayakan MP) tapi bila kita dah buat rayuan, maka keputusan berhubung hilang kedudukan saya sebagai anggota parlimen akan ditangguh sehingga keputusan rayuan itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid juga cuba mempertahankan tindakannya mengajar di surau berkenaan kerana mahu mahu menceritakan pengalamannya ketika membantu rakyat Palestin di Gaza.

Menurut beliau, ia merupakan satu tanggungjawab dan kewajipan bagi diri beliau untuk menceritakan pengalamannya kerana itulah apa yang telah dipesankan kepada dirinya oleh Presiden Gaza iaitu Ismail Haniyeh.

Bagaimanapun, beliau mendakwa keputusan mahkamah seolah-olah menunjukkan beliau melakukan perbuatan yang memudaratkan rakyat, masyarakat dan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *