Lelaki yang disyaki Fitnah dan Hina Allahyarham Adenan Satem ditangkap.

Kuching: Polis telah menahan lelaki yang disyaki mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak yang meninggal dunia semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ)Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata suspek berusia 57 tahun ditahan pada 12.05 tengah malam tadi oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuching di kediamannya di RPR Landeh Kuching.

“Telefon bimbit suspek dirampas bagi tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dev berkata, setakat pagi ini, 13 laporan polis telah dibuat di lapan daerah polis terhadap empat pemegang akaun Facebook yang didakwa membuat catatan berbentuk fitnah dan siasatan masih berjalan.

“Kami sedang memantau laman media sosial dan tidak akan teragak-agak menahan sesiapa yang membuat catatan fitnah atau komen berbentuk hasutan terhadap Allahyarham Ketua Menteri atau sesiapapun,” katanya.

Semalam, seorang pegawai kerajaan melalui skim perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dikesan memuatnaik komen yang menghina kematian Allahyarham dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebuah akaun Facebook yang dipercayai milik pegawai yang baru sahaja bertugas di Manila itu, dikesan cuba memberi kata-kata jelik dalam komen status ucapan takziah Perdana Menteri terhadap kematian Ketua Menteri Sarawak.

Dalam status berkenaan, individu terbabit menulis “Kesian. Hilang kwn, hilang deposit” yang ditujukan kepada Perdana Menteri dan dilihat sebagai menghina kematian arwah. – Utaranews.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *